Bola Sepak

Rodgers yakin Leicester akan bangkit

Oleh AFP

London: Pengurus Leicester City, Brendan Rodgers percaya barisan pemainnya akan bangkit daripada kekalahan menerusi penentuan penalti Piala Liga apabila bertemu pendahulu Liga Perdana, Manchester City, esok.

The Foxes mensia-siakan kelebihan dua gol sebanyak dua kali ketika aksi suku akhir Piala Liga menentang Liverpool termasuk gol penyamaan di akhir masa kecederaan sebelum tewas pada penentuan penalti.

Lebih malang lagi buat Leicester apabila pertahanannya, Caglar Soyuncu dan Ricardo Pereira terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan dan penyerang Jamie Vardy bermain pada 20 minit terakhir dengan masalah di bahagian paha.

Situasi itu pasti menyukarkan Rodgers untuk bertemu City, walaupun Leicester memenangi dua daripada empat pertemuan terakhir dengan anak buah Pep Guardiola.

"Kita pasti akan alami kekecewaan tetapi seperti saya katakan sebelum ini, anda akan beraksi di Anfield, tempat yang bagus untuk bermain dan apa saja berlaku, kita perlu bermain cara kita," kata bekas pengurus Liverpool itu.

"Itu yang sering pemain-pemain ini berikan. Mereka beraksi cemerlang menentang pasukan terbaik di negara ini, cuma ia tidak mencukupi untuk menang."

Rodgers sedar cabaran besar menanti mereka bertemu City di Etihad esok dan semangat sama ketika bertemu Liverpool perlu diterapkan oleh barisan pemainnya.

City tampil dengan lapan kemenangan berturut-turut dalam saingan liga dan hanya gagal menang sekali dalam 11 perlawanan terakhir mereka.

Disiarkan pada: December 25, 2021 @ 10:17am
d