Bola Sepak

Gerrard positif Covid-19

Oleh AFP

London: Ketua jurulatih Aston Villa, Steven Gerrard akan terlepas dua perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) seterusnya apabila diuji positif Covid-19, umum kelab itu.

"Aston Villa mengesahkan Ketua Jurulatih Steven Gerrard tidak dapat menghadiri dua perlawanan Liga Perdana menentang Chelsea dan Leeds United kerana dia akan mengasingkan diri selepas diuji positif Covid-19," menurut kelab itu menerusi Twitter.

Gerrard akan terlepas aksi 'Boxing Day' di laman sendiri menentang Chelsea dan kunjungan ke Leeds pada Selasa, jika perlawanan terbabit diteruskan mengikut jadual.

Perlawanan terakhir Aston Villa, di laman sendiri bertemu Burnley, dibatalkan sebelum sepak mula pada 18 Disember selepas lonjakan kes positif di kem Villa.

Tiga daripada perlawanan Liga Perdana yang dijadualkan hari ini juga sudah ditunda, termasuk kunjungan Leeds ke Liverpool, kerana penularan virus berkenaan dan masalah kecederaan kelab Yorkshire itu.

Perlawanan Villa di Elland Road pada 28 Disember ini juga menimbulkan tanda tanya sama ada boleh diteruskan atau tidak.

Rabu lalu, Gerrard berkata ia akan menjadi mimpi ngeri buat kelabnya jika terpaksa mengharungi dua perlawanan dalam tempoh dua hari dengan hanya 14 pemain yang ada.

"Kami berdepan situasi pada hujung minggu di mana salah seorang pemain enggan keluar dari keretanya kerana mempunyai gejala dan anak-anaknya masih kecil. Anda tentu faham situasinya.

"Tidak ada sesiapa mahu dijangkiti virus ini. Semua orang mahu melindungi keluarga mereka. Ini adalah tugas dan keutamaan kami ialah keluarga," katanya.

Disiarkan pada: December 26, 2021 @ 7:53am
d