Bola Sepak

Pemain sayap skuad B-22 negara bantu mangsa banjir

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Prihatin dengan nasib penduduk yang terjejas banjir, pemain sayap skuad negara Bawah-22 Tahun (B-22), Syafik Ismail turun padang membantu membersihkan rumah di Sungai Lembing, Pahang, kelmarin.

Pemain kelahiran Kampung Kubu, Marang itu yang lebih mesra dipanggil 'Kacang' akui hatinya tersentuh melihat keadaan rumah yang dilanda musibah itu.

Kata pemain Terengganu FC II (TFC II) itu, dia bersama sukarelawan Jabatan Amal Malaysia Terengganu meluangkan masa sehari bergotong-royong membersihkan kawasan berkenaan.

"Ketika kami sampai di kawasan Sungai Lembing itu, hati tersentuh melihat rumah yang dipenuhi lumpur, saya bayangkan jika rumah kami terjadi sedemikian, sudah pasti kami sedih, begitu juga penduduk di kampung berkenaan.

"Lebih memilukan ada antara penduduk yang terpaksa membuang barangan elektrik seperti televisyen, peti sejuk, mesin basuh serta perabot.

"Jadi saya bersama abang dan sukarelawan mengambil masa hampir sehari untuk membantu kerja-kerja pembersihan, sekurang-kurangnya ianya dapat meringankan beban mereka.

"Walaupun berat mata memandang, saya bersyukur kerana dipilih untuk terbabit sama dengan misi kemanusiaan itu sebelum kembali ke kem latihan pasukan.

"Hari ini mereka diuji oleh Allah, siapa tahu akan datang kami pula diuji, jadi sama-samalah kita bantu dengan menghulurkan bantuan sekadar kemampuan kita," katanya ketika dihubungi hari ini.

Musim depan, pemain bertubuh kecil itu yang beraksi cemerlang bersama pasukan kebangsaan bawah kendalian Brad Maloney dan TFC II dijangka akan kembali menyarung jersi skuad 'abang' Terengganu FC (TFC).

Disiarkan pada: December 27, 2021 @ 1:54pm
d