Bola Sepak

Lukaku tak gembira di Chelsea

Oleh AFP

Rom: Penyerang Belgium, Romelu Lukaku menerusi satu temuramah berkata dia 'tidak gembira' di Chelsea apabila hanya membarisi kesebelasan utama sebanyak lapan kali pada saingan liga musim ini.

Pengurus Blues, Thomas Tuchel lebih gemar menerapkan formasi tanpa pemain berusia 28 tahun itu yang berdepan masalah kecederaan serta dijangkiti Covid-19 musim ini.

Lukaku menyertai Chelsea pada Ogos lalu selepas memenangi Serie A bersama Inter Milan.

"Selepas dua tahun di Itali, di mana saya bersama dengan pelatih dan pakar nutrisi di Inter, secara fizikal saya berada dalam keadaan baik.

"Tetapi saya tidak gembira dengan situasi sekarang. Ia adalah normal. Saya rasa jurulatih memilih untuk menggunakan sistem berbeza.

"Saya tidak mahu berputus asa, akan terus bekerja keras dan bersikap profesional," kata Lukaku kepada Sky Sport Italia.

Lukaku menjadi arkitek kepada 10 jaringan dan meledak 24 gol pada saingan liga ketika Inter meraih kejuaraan Scudetto buat kali pertama sejak 2010.

Chelsea membayar £97.5 juta (RM549 juta) untuk bekas penyerang Manchester United itu yang pernah beraksi di Stamford Bridge selama tiga musim di awal kariernya.

"Bagaimana saya meninggalkan Inter dan berkomunikasi dengan penyokong, semua ini mengganggu fikiran saya, malah ketika saya meninggalkan kelab juga bukan di masa yang sesuai.

"Sekarang saya rasa masa yang terbaik untuk meluahkan segala-galanya kerana saya sentiasa berkata Inter berada dalam ingatan dan saya berharap dapat kembali beraksi di sini semula," katanya.

Disiarkan pada: December 31, 2021 @ 7:51am
d