Bola Sepak

Adib mahukan lebih cabaran di TFC

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Mahukan cabaran yang lebih mencabar mendorong bekas pemain Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Muhammad Adib Zainuddin memilih Terengganu FC (TFC) musim depan.

Bekas kapten dan tonggak pertahanan tengah skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) itu memaklumkan, reputasi skuad kendalian Nafuzi Zain itu yang dilihat antara pasukan terbaik musim ini turut menguatkan lagi dirinya untuk menyarung jersi skuad Penyu itu.

"TFC adalah antara pasukan yang dilihat mampu mencabar dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sebagaimana yang dibuktikan musim ini.

"Selain itu skuad itu mempunyai barisan jurulatih tempatan yang hebat serta

pemain yang berkualiti juga mendorong saya memilih pasukan itu.

"Saya juga mahukan cabaran yang lebih mencabar musim depan serta mahu menimba pengalaman baharu bersama pasukan lain, jadi faktor itu juga menguatkan lagi buat saya memilih skuad itu sebagai destinasi walaupun saya menerima tiga lagi tawaran daripada pasukan lain," katanya ketika dihubungi.

Ketika ditanya sasarannya bersama pasukan baharunya itu, pemain kelahiran Mersing itu menjelaskan mahu membantu pasukan itu mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan pasukan.

"Mana-mana pemain sudah pasti mempunyai sasaran masing-masing, jadi bagi saya selain membantu pasukan mencapai KPI yang ditetapkan, saya juga mahu mencabar diri sendiri menjadi pemain yang lebih baik selain mahu tingkatkan lagi prestasi," katanya.

Selain JDT II, pemain berketinggian 1.81 meter itu pernah menyarung jersi Harimau Muda C pada 2014, UiTM FC selama tiga musim bermula 2015 sebelum beraksi bersama pasukan FELCRA FC pada 2017 dan kemudian bersama pasukan negeri kelahirannya setahun kemudian.

Adib yang membuat 29 penampilan sepanjang beraksi bersama JDT II adalah pemain tempatan pertama dirantai TFC bagi memantapkan benteng pertahanan skuad itu musim depan.

Pemain yang mengikat kontrak selama dua tahun bersama skuad itu hadir bagi menggantikan bekas pemain TFC, Muhammad Mohd Fauzi yang memilih untuk berhijrah walaupun khidmatnya masih diperlukan skuad itu musim depan.

Disiarkan pada: December 31, 2021 @ 2:55pm
d