Bola Sepak

Covid-19 'serang' Liverpool, Klopp kekal tenang

Oleh AFP

London: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp percaya perlawanan getir dengan Chelsea tengah malam Isnin akan diteruskan di sebalik mempunyai tiga kes Covid-19 dalam skuadnya ketika satu lagi perlawanan Liga Perdana ditangguhkan.

Klopp enggan menamakan pemain yang terbabit kerana mereka sedang menunggu keputusan tetapi penyerang, Roberto Firmino dan penjaga gol, Alisson Becker tidak kelihatan ketika sesi latihan.

Kedua-dua pasukan akan memastikan pertembungan di Stamford Bridge itu sebagai perlawanan wajib menang dalam usaha mereka mengejar juara bertahan, Manchester City yang selesa dengan kelebihan lapan mata di tangga teratas liga.

"Kami mempunyai tiga kes Covid-19 baru dalam pasukan dan beberapa kakitangan, jadi ia situasi tidak baik ketika ini.

"Saya tidak dapat menyatakan siapa mereka kerana kami perlu melalui keseluruhan proses termasuk keputusan ujian PCR tetapi anda akan dapat melihatnya pada senarai pemain nanti. Ia lebih jelas siapakah yang terbabit," katanya.

Pengendali dari Jerman itu yang menyaksikan pasukannya menduduki tangga ketiga ketinggalan satu mata di belakang Chelsea menambah: "Kami tidak pernah berdepan pengalaman di mana 15 hingga 20 pemain mengalaminya. Bagi kami setiap hari berbeza.

"Setakat ini, kami tidak akan meminta untuk menangguhkan perlawanan tetapi kami tidak pasti apa yang akan berlaku selepas ini."

Selain berdepan tiga kes positif Covid-19, Takumi Minamino dan Thiago Alcantara yang mengalami kecedeaan tidak akan diturunkan bertemu Chelsea.

Komen Klopp itu selepas perlawanan antara Southampton dan Newcastle esok terpaksa ditangguhkan berikutan terdapat kes positif Covid-19 dalam pasukan Magpies.

Disiarkan pada: January 1, 2022 @ 7:45am
d