Bola Sepak

Thailand juarai Piala AFF

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Thailand kembali merampas gelaran 'Raja' bola sepak Asia Tenggara apabila berjaya menjulang Piala AFF selepas terikat 2-2 berdepan Indonesia dalam aksi final kedua, sekali gus mengesahkan kemenangan menerusi agregat 6-2 di Stadium Nasional Singapura, Kallang di Singapura, sebentar tadi.

Kejayaan skuad kendalian Alexandre Polking itu adalah yang keenam dalam sejarah bola sepak Thailand selepas turut memenanginya pada 1996, 2000, 2002, 2014 dan 2016.

Sebaliknya, Indonesia terus hampa apabila terpaksa menggigit jari buat kali keenam di pentas final sejak pertandingan serantau itu dianjurkan pada 1996.

Indonesia yang tewas 4-0 dalam aksi final pertama Rabu lalu, mengejutkan penyokong Thailand seawal minit ketujuh hasil jaringan Ricky Kambuaya selepas rembatannya gagal ditampan kemas Siwarak Tedsungnoen.

Gol itu nyata menyemarakkan lagi semangat anak buah Shin Tae-yong yang terus menekan kubu skuad Gajah Perang dengan beberapa siri serangan.

Begitupun, skrip berbeza dipamerkan Thailand pada separuh masa kedua dengan aksi lebih meyakinkan dan hasilnya Adisak Kraisorn dan Sarach Yooyen meledak dua gol masing-masing minit ke-54 dan 56.

Ketika perlawanan menuju ke penghujung, Egy Maulana menyamakan kedudukan di minit 85 namun gol itu tidak cukup menafikan kejuaraan untuk menjadi milik Thailand.

Disiarkan pada: January 1, 2022 @ 10:32pm
d