Bola Sepak

Sahabat baik Ronaldo kini jadi nelayan

Oleh Agensi

Lisbon: Fabio Coentrao kini memenuhi impiannya bekerja sebagai nelayan selepas bersara.

Dia yang pernah membuat penampilan sebanyak 52 kali bersama skuad kebangsaan Portugal dan baru berusia 33 tahun, mengumumkan persaraan selepas kali terakhir beraksi bersama kelab Rio Ave hujung musim lalu.

Sahabat baik kepada Cristiano Ronaldo itu yang pernah bersama di Real Madrid serta di pentas antarabangsa bersama skuad kebangsaan kini memilih karier yang cukup berbeza.

Ketika Ronaldo, 36, terus beraksi di pentas tertinggi bersama Manchester United, Coentrao yang juga bekas pemain pertahanan memenuhi impiannya bekerja di tengah lautan.

Coentrao membeli bot pertamanya ketika sedang aktif beraksi, malah kapal miliknya itu pernah menyelamatkan 15 nelayan selepas kapal mereka karam.

Kini bekas bintang Real, Benfica dan Sporting Lisbon itu bekerja sepenuhnya masa di tengah lautan.

"Kehidupan di lautan bukanlah sesuatu yang memalukan seperti difikirkan oleh orang lain. Ia adalah satu pekerjaan seperti yang lain.

"Bukan itu sahaja, pemandangan di lautan sangat cantik dan kita amat memerlukannya.

"Saya tahu karier sebagai pemain bola sepak pastinya akan berakhir dan saya perlu mengambil hala tuju baru dalam kehidupan.

"Kegembiraan saya ketika ini adalah memiliki bot dan inilah kehidupan yang saya mahukan," katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2022 @ 11:04am
d