Bola Sepak

Nasrulhaq kekal positif beraksi bersama TFC II

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Penjaga gol skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23), Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin tetap positif walaupun bakal beraksi bersama skuad 'adik', Terengganu FC II (TFC II) musim ini.

Pemain yang didaftarkan bersama pasukan Terengganu FC (TFC) musim lalu itu akui keputusan barisan kejurulatihan menyenaraikannya dalam skuad TFC II ada hikmahnya walaupun berstatus 'feeder club'.

"Saya percaya keputusan barisan kejurulatihan menyenaraikan beraksi bersama skuad TFC II musim ini ada hikmahnya dan bukannya 'diturunkan pangkat'.

"Saya melihat keputusan itu tepat bagi menambahkan lagi minit permainan saya, jika berada dalam skuad utama mungkin hanya memanaskan bangku simpanan, jadi saya kekal positif.

"Namun beraksi dengan pasukan TFC II juga bukan tugas mudah untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama kerana perlu bersaing secara sihat dengan dua lagi penjaga gol termasuk bekas penjaga gol kebangsaan, Amierul Hakimi Awang di samping Shafawi Mohamad.

"Bagaimanapun saya tekad perlu berusaha lebih keras lagi bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama bagi menambahkan lagi kematangan sebagai penjaga gol," katanya ketika dihubungi.

Musim lalu, pemain berusia 23 tahun kelahiran kampung Bukit Tunggal, Kuala Nerus itu lebih banyak beraksi bersama skuad TFC II selepas penjaga gol utama skuad kendalian Badrul Afzan Razali itu, Mohd Suhaimi Husin 'dinaikkan pangkat' ke pasukan TFC berikutan kecederaan berpanjangan Rahadiazli Rahalim.

Kecemerlangannya menjaga gawang TFC II berjaya menarik perhatian jurulatih skuad B-23 kebangsaan, Brad Maloney untuk memanggil pemain itu beraksi bersama skuad negara.

Pada aksi pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 Kumpulan J di Ulaanbaatar, Mongolia Oktober lalu, skuad Maloney berjaya merebut tempat ke pusingan akhir di Uzbekistan tahun ini selepas muncul juara peringkat kumpulan.

Ketika ditanya adakah dia mendapat tawaran daripada pasukan lain selepas berjaya membantu TFC II menamatkan saingan Liga Perdana di kedudukan ketiga musim lalu, Nasrulhaq menjelaskan setakat ini tiada tawaran daripada pasukan lain.

"Lagipun kontrak saya bersama Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd sehingga 2023, jadi saya tidak mahu memikirkan perkara itu sebaliknya mahu fokus kepada pasukan dan juga skuad kebangsaan apabila dipanggil menjalani latihan nanti," katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2022 @ 2:40pm
d