Bola Sepak

Thailand serlah reputasi

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Kejayaan Thailand muncul juara Piala AFF 2020 semalam memberikan isyarat jelas bahawa skuad Gajah Perang itu bakal memberikan igauan ngeri buat Harimau Malaya jika berada dalam kumpulan sama di pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023.

Thailand dilihat sudah kembali kepada prestasi sebenar mereka apabila mempamerkan persembahan cemerlang di Piala AFF berbeza seperti sebelum ini, di mana dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ia lebih memihak Harimau Malaya.

Sebelum ini anak buah Tan Cheng Hoe menewaskan Thailand dalam dua pertembungan Kumpulan G kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selain menyingkirkan Gajah Perang di separuh akhir Piala AFF 2018.

Menurut ketua jurulatih Thailand, Alexandre Polking pasukannya akan meneruskan persembahan cemerlang dalam kejohanan seterusnya termasuk kempen kelayakan Piala Asia 2023.

"Selepas beberapa tahun yang sukar, bola sepak masih menjadi peluang yang baik untuk menggembirakan orang ramai dan saya harap ini adalah hadiah Tahun Baharu untuk semua orang di Thailand, selepas tempoh sukar.

"Saya sangat gembira kerana kami menang dan juga kami menang dengan cara yang istimewa. Saya perlu berterima kasih kepada semua orang termasuk staf, pegawai dan terutamanya pemain.

"Ini adalah kejohanan berprestij dan kami sangat gembira memenanginya. Namun, kami tidak mahu berhenti di sini dan kemudian tidak mendapat peluang dalam kelayakan Piala Asia.

"Kami mempamerkan beberapa corak permainan bola sepak yang cemerlang, bertahan dengan baik dan mencipta peluang terbanyak dalam kejohanan. Jadi kami perlu membawa kepercayaan itu ke peringkat seterusnya," kata jurulatih yang pernah mengendalikan beberapa kelab di liga negara berkenaan.

Bukan sahaja Thailand, Harimau Malaya juga perlu lebih berwaspada dengan naib juara Piala AFF 2020, Indonesia sekiranya ditakdirkan berdepan musuh tradisi itu lagi selepas ini.

Harimau Malaya berjaya menundukkan Indonesia dua kali dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022, namun kebangkitan prestasi yang dipamerkan skuad Garuda di pentas Piala AFF 2020 harus menjadi peringatan buat Harimau Malaya.

Pengajaran paling berguna sudah pasti ketika skuad kendalian Cheng Hoe tewas 1-4 di tangan anak buah Shin Tae Yong itu pada aksi terakhir Kumpulan B.

Disiarkan pada: January 2, 2022 @ 5:43pm
d