Bola Sepak

Chelsea lanjut kontrak Silva

Oleh AFP

London: Pertahanan tengah Chelsea Thiago Silva melanjutkan kontrak setahun lagi sehingga penghujung musim 2022/23 bersama juara Eropah, umum kelab itu awal pagi tadi.

Pemain berusia 37 tahun itu menyertai Blues dari Paris Saint-Germain pada 2020 dengan kontrak semusim tetapi dia memainkan peranan penting ketika Chelsea menjuarai Liga Juara-Juara musim lalu dan kini di tangga kedua di belakang pendahulu Liga Perdana, Manchester City.

"Satu penghormatan bersama Chelsea. Saya tak pernah terfikir beraksi tiga tahun lagi bersama kelab ini. Jadi saya sangat gembira kekal semusim lagi," kata Silva yang tampil 56 perlawanan sejak 18 bulan lalu kepada laman web kelab.

"Saya akan berikan segalanya bagi memastikan dapat terus beraksi di liga paling penting di dunia."

Melanjutkan kontrak pemain antarabangsa Brazil itu menjadi keutamaan Chelsea selepas rakan seposisi, Antonio Rudiger dan Andreas Christensen turut tamat kontrak penghujung musim ini.

"Pengalaman Thiago Silva, kepimpinan dan prestasinya sangat penting kepada skuad. Jadi kami sangat berbesar hati dapat melanjutkan kontraknya setahun lagi," kata Pengarah Chelsea Marina Granovskaia.

Disiarkan pada: January 4, 2022 @ 8:28am
d