Bola Sepak

EFL pertimbang permohonan Liverpool

Oleh Agensi

London: Liga Bolasepak Inggeris (EFL) berkata mereka sedang mempertimbangkan permohonan Liverpool untuk menangguhkan perlawanan separuh akhir pertama Piala Liga bertemu Arsenal awal pagi Jumaat ini.

The Reds mengemukakan permohonan itu berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di dalam kelab itu.

Difahamkan kakitangan sokongan skuad bimbingan Jurgen Klopp yang tidak terjejas dengan wabak itu memutuskan untuk membatalkan sesi latihan selepas berlaku penularan ketiga di kelab itu.

Jurucakap EFL berkata: "Kami menerima permohonan dari Liverpool untuk menangguhkan aksi separuh akhir pertama Piala Liga bertemu Arsenal.

"Ia kini akan dipertimbangkan mengikut peraturan pertandingan seperti yang ditetapkan pada permulaan musim bersama maklumat yang dikemukakan oleh kelab.

"Kami akan mempertimbangkan dan kemudian mengesahkan kedudukan semasa secepat mungkin selepas melihat daripada pelbagai sudut."

Liverpool menerusi kenyataan sebelum itu berkata: "The Reds sudah mengemukakan kepada EFL untuk menangguhkan perlawanan itu selepas terdapat tambahan pemain dan kakitangan disyaki positif Covid-19

"Atas faktor itu, kelab memutuskan untuk membatalkan sesi latihan pertama di Pusat Latihan AXA.

"Antara pertimbangan yang membawa kepada permohonan ini adalah keperluan untuk memberitahu penyokong lebih awal mengenai sebarang kemungkinan penangguhan perlawanan."

Disiarkan pada: January 5, 2022 @ 8:47am
d