Bola Sepak

Cools beraksi di Liga Belgium

Kuala Lumpur: Pemain kacukan skuad kebangsaan negara, Dion Cools sah menyertai kelab Zulte Waregem yang beraksi dalam Liga Belgium, musim ini.

Pemain pertahanan itu menyertai kelab itu secara pinjaman daripada kelab Denmark, Midtjylland sehingga penghujung musim.

Penyertaan pemain berusia 25 tahun itu di Liga Belgium bakal mencetuskan prospek pertembungan dengan seorang lagi pemain kebangsaan yang beraksi di sana iaitu Luqman Hakim Shamsudin bersama KV Kortrijk.

"Saya melihat diri saya sebagai bek kanan moden yang suka membantu pasukan ketika bertahan dan menyerang. Pasukan ini kontemporari dan walaupun tidak mencatat keputusan yang baik kebelakangan ini, namun mereka sentiasa berusaha keras untuk mencapai cita-cita.

"Saya berharap dapat menjadi sebahagian daripada cita-cita mereka," kata Cools.

Sementara itu, pengurus Zulte Waregem, Eddy Cordier mahu pertahanan itu bersedia sepenuhnya memandangkan khidmatnya akan terus ditagih.

Disiarkan pada: January 5, 2022 @ 10:27pm
d