Bola Sepak

Chelsea hampiri final Piala Liga

Oleh AFP

London: Thomas Tuchel memberi amaran kepada Chelsea bahawa pertembungan dengan Tottenham di Piala Liga belum berakhir selepas anak buahnya menguasai perlawanan ketika melakar kemenangan 2-0 pada perlawanan separuh akhir pertama, hari ini.

Skuad bimbingan Tuchel semakin hampir untuk melangkah ke pentas final Piala Liga buat kali pertama sejak 2019 selepas mengatasi Tottenham di Stamford Bridge.

Kai Havertz meletakkan Chelsea di depan sebelum jaringan sendiri Ben Davies menyaksikan The Blues semakin selesa sebelum berakhir babak pertama.

Meskipun Chelsea tidak dapat menambah gol selepas itu, namun mereka dilihat pasukan pilihan untuk melangkah ke pentas final bertemu antara Liverpool atau Arsenal menjelang kunjungan ke Tottenham pada aksi timbal balik 12 Januari ini.

Aksi separuh akhir pertama antara Liverpool dan Arsenal yang dijadualkan awal pagi esok ditangguhkan kepada minggu depan selepas berlaku penularan Covid-19 dalam skuad bimbingan Jurgen Klopp.

Kemenangan Chelsea itu adalah yang pertama selepas tiga perlawanan sekali gus mempamerkan kebangkitan apabila sekadar melakar keputusan seri 2-2 dengan Liverpool pada aksi Liga Perdana.

"Kami berhak memenangi perlawanan ini. Keputusan yang sangat baik kerana ia mencerminkan corak permainan kami.

"Kami sepatutnya mampu menjaringkan lebih banyak gol tetapi ia tugas sukar apabila bertemu Tottenham.

"Pemain mencipta banyak peluang namun paling penting mereka tahu aksi timbal balik nanti pasti sukar. Belum ada lagi keputusan muktamad," katanya.

Disiarkan pada: January 6, 2022 @ 7:28am
d