Bola Sepak

Nombor 7 tinggalan Baddrol Bakhtiar masih 'eksklusif'

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Pemilik jersi nombor 7 di kalangan pemain baharu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kini masih menjadi persoalan selepas 'dilepaskan' oleh Baddrol Bakhtiar yang tidak lagi bersama pasukan Hijau Kuning.

Malah jersi nombor 7 berkenaan dianggap 'keramat' kerana reputasi Baddrol selaku kapten Kedah sudah banyak mencurahkan kejayaan buat skuad Hijau Kuning sejak memakai jersi berkenaan bersama bermula musim 2006 lagi.

Jika dilihat pada reputasi pada jersi itu, pemain yang bakal menyarungnya perlu memiliki ciri-ciri hebat dan mampu meyakinkan penyokong setia skuad Hijau Kuning.

Menurut Ketua Jurulatih KDA FC Aidil Sharin Shahak, belum ada keputusan untuk memberikan nombor itu kepada mana-mana pemain ketika ini.

"Kita belum membuat keputusan untuk mana-mana pemain yang akan mengenakan jersi nombor 7 berkenaan dan pastinya ramai penyokong sedang menantikan siapakah pemain baharu yang akan memakainya pada musim ini.

"Saya juga dapati, tiada dikalangan pemain yang berani meminta jersi nombor 7 berkenaan untuk dipakai bermula musim baru setakat ini.

"Jadi biarlah kami memulakan dahulu latihan bersama skuad baharu ini sebelum memutuskan siapakah pemain yang akan dipilih memakai jersi itu nanti," katanya.

Jersi bernombor 7 adalah antara yang laris terjual di perkarangan Stadium Darul Aman sebelum ini.

Disiarkan pada: January 6, 2022 @ 2:45pm
d