Bola Sepak

Fokus kejayaan jangka panjang

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Jurulatih berpengalaman, Wan Jamak Wan Hassan berpendapat orang Malaysia mahukan kejayaan sekelip mata, sedangkan fokus sepatutnya pada pembangunan pemain di peringkat akar umbi demi kejayaan jangka panjang.

Beliau berkata demikian ketika mengulas peletakan jawatan Tan Cheng Hoe sebagai pengendali skuad kebangsaan, Isnin lalu.

Ia rentetan kegagalan di Piala AFF 2020 hingga Cheng Hoe dikecam hebat dengan ada segelintir pihak dan penyokong mendesak bekas pengendali Kedah itu dipecat atau meletak jawatan.

Wan Jamak yang juga bekas pengendali skuad kebangsaan berkata, soalnya adakah bakal pengganti Cheng Hoe mampu membuat magis.

"Jurulatih tempatan atau luar negara bagi saya jika dalam waktu terdekat ini, tiada buruk dan tiada juga baiknya. Kita pernah ambil jurulatih luar sebelum ini tetapi gagal dan kita tendang dia juga, desak dia berhenti.

"Sama saja bagi saya, kalau jurulatih luar negara atau tempatan sekalipun jika pemainnya adalah muka itu juga pasti Malaysia akan ulangi perkara sama," katanya.

Justeru Wan Jamak menekankan pemain juga perlu ada tanggungjawab pada negara kerana di mata kasarnya kualiti individu antara punca kekalahan pasukan.

"Kita tiada pemain yang berani berlari dan membuat hantaran di celah pemain lawan. Tapi kalau tengok pemain Vietnam dan Indonesia, mereka kerap melakukan hantaran di celah lorong pemain kita.

"Malah jika kita lihat secara individu pemain Vietnam dan Indonesia, mereka berani. Berbeza pemain kita tidak berani untuk menggunakan kemahiran individu seperti menggelecek bola dan berlari dengan bola.

"Jadi di sini penting untuk kita melatih dan fokus generasi akar umbi seawal usia enam hingga 12 tahun agar ada kemahiran berani untuk persediaan ke peringkat seterusnya, jadi bila ke Akademi Mokhtar Dahari atau seumpamanya mereka sudah ada asas," katanya.

Tegasnya, bukan memihak pada jurulatih mahupun menyalahkan pemain tetapi generasi akar umbi perlu ditekankan untuk kejayaan jangka panjang.

"Buat masa ini, siapa sahaja yang turun naik, letak jawatan pun tiada banyak beza. Namun langkah yang diambil Cheng Hoe adalah berani, saya juga pernah alami situasi sama.

"Menjadi adat, jika pasukan gagal jurulatih akan meletak jawatan, ia berlaku di mana-mana negara sekalipun. Cuma diharap penggantinya kali ini mampu membuat perubahan bukan sahaja sekarang tetapi untuk kejayaan jangka panjang dengan dibantu semua pihak," katanya yang membawa Malaysia muncul naib juara edisi pertama Piala Tiger (kini dikenali dengan Piala AFF) pada 1996 lalu.

Disiarkan pada: January 7, 2022 @ 9:52pm
d