Bola Sepak

Bayern tumbang di halaman sendiri

Oleh AFP

Berlin: Covid-19 yang 'menyerang' Bayern Munich menyebabkan mereka tewas 1-2 kepada Borussia Moenchengladbach di halaman sendiri dengan pendahulu Bundesliga itu terpaksa membariskan pasukan kedua selepas sembilan pemain didapati positif Covid-19.

Robert Lewandowski menjaringkan gol ke-20 pada saingan liga musim ini untuk meletakkan Bayern di depan tetapi Gladbach bangkit dengan dua gol menerusi Florian Neuhaus minit ke-27 dan Stefan Lainer minit ke-31.

"Gladbach bukan pasukan lawan yang menjadi pilihan kami. Kekalahan ini memang agak pahit tetapi kami harus menerimanya," kata penyerang, Thomas Mueller selepas Bayern tewas 0-5 kepada Gladbach pada Piala Jerman, Oktober tahun lalu.

Mueller enggan menyalahkan kekalahan itu kerana skuad yang lemah.

"Kami mempunyai kualiti yang baik di atas padang dan tidak membenarkan lawan menguasai perlawanan.

"Kesilapan utama ialah kami tidak memanfaatkan segala peluang dengan sebaik-baiknya," kata Mueller selepas dia sendiri melepaskan dua peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua.

Di sebalik kekalahan itu, Bayern masih unggul di tangga teratas liga dengan kelebihan sembilan mata namun pasukan di tangga kedua, Borussia Dortmund berpeluang mengurangkan jurang itu apabila bertemu Eintracht Frankfurt awal pagi esok.

Gladbach pula naik tiga anak tangga di kedudukan ke-11 namun hanya mempunyai kelebihan lima mata berbanding kelompok tiga terbawah.

Disiarkan pada: January 8, 2022 @ 7:56am
d