Bola Sepak

Teruskan kelangsungan F:30

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak mahu terus mahu terus memberi tekanan dengan meletakkan Indeks prestasi utama (KPI) tinggi kepada Pengarah Teknikalnya Scott O'Donell dengan harapan dapat membawa perubahan besar kepada pasukan kebangsaan dalam masa terdekat ini.

Sebaliknya, kehadiran bekas Pengarah Teknikal Persekutuan Bolasepak Seluruh India (AIFF) itu lebih kepada meneruskan kesinambungan peta hala tuju F:30 dan DNA bola sepak Malaysia yang dilancarkan pada 2018 supaya kekal relevan dan mencapai sasaran yang ditetapkan.

Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar memaklumkan bahawa tugas pengarah teknikal itu adalah lebih kepada pembangunan belia membabitkan kejurulatihan dan pemain yang kini agak perlahan berikutan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu terus memberi tekanan kepada individu berkenaan atua mengharapkan perubahan besar segera dilakukan membabitkan pasukan Harimau Malaya selepas gagal mencapai sasaran pada kejohanan Piala AFF baru-baru ini.

"Kita mahu memastikan beliau dapat meneruskan kelangsungan F-30 itu iaitu melihat pembangunan belia seterusnya apa yang diperlukan untuk penambahbaikan.

"Pelan F:30 dan DNA tidak perlu diubah cuma pada fasa 1 agak perlahan kerana disebabkan pandemik Covid-19.

"Sebenarnya, kita berada pada landasan yang tetap dan kehadiran beliau dapat membantu daripada segi teknikal, kejurulatihan, belia dan pasukan Bawah 23 tahun negara," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, O'Donell dilantik sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baharu bagi menggantikan Datuk Ong Kim Swee.

Bekas jurulatih di Liga Singapura itu sememangnya individu paling tepat untuk memegang jawatan terbabit berdasarkan kelayakan yang dimilikinya selain memahami 'resam' bola sepak di Asia Tenggara.

Sementara itu, badan siasatan bebas ini diketuai oleh bekas pemain kebangsaan yang juga bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Dell Akbar Khan akan diberikan ruang yang secukupnya untuk melakukan siasatan dan mengumpul maklumat berkaitan pasukan Harimau Malaya.

"Kita melantik badan bebas tanpa ada kaitan dengan FAM supaya siasatan dan maklumat yang diperoleh lebih terperinci tanpa sebarang keraguan," katanya.

Disiarkan pada: January 9, 2022 @ 10:56pm
d