Bola Sepak

Inter ambil alih teraju Serie A

Oleh AFP

Milan: Inter Milan terus mendahului dalam pemburuan kejuaraan Serie A selepas mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Lazio.

Tandukan Milan Skriniar berpunca daripada hantaran Alessandro Bastoni memastikan gol kemenangan penting pada minit ke-67 untuk meletakkan Inter kembali mendahului satu mata mengatasi AC Milan yang terdahulu berada di tempat teratas liga selepas menang 3-0 di Venezia pada aksi lebih awal.

Skuad kendalian Simone Inzaghi mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan kepada seteru setempat selepas aksi di Bologna pada Khamis ditangguhkan kerana jangkitan Covid-19 antara kem pasukan lawan mereka.

"Kami harus meneruskan aksi seperti ini kerana semua persaing terdekat kami memenangi perlawanan hari ini jadi tiada masa untuk berhenti dan berfikir, kami harus terus mencatat kemenangan," kata Inzaghi selepas kemenangan kelapan berturut-turut Inter dalam saingan liga.

Ia persembahan yang hebat di San Siro buat Inter berdepan bekas kelab Inzaghi, yang berada dalam prestasi terbaik dan menyamakan kedudukan pada minit ke-35 menerusi jaringan ke-15 liga musim ini buat Ciro Immobile selepas Bastoni memastikan Inter mendahului menerusi jaringan jarak jauh lima minit sebelum itu.

Skuad kendalian Maurizio Sarri hampir mengejutkan Inter dengan jaringan Immobile tidak dibenarkan selepas didapati ofsaid.

Napoli kini di tempat ketiga liga ketinggalan enam mata berbanding Inter.

Disiarkan pada: January 10, 2022 @ 7:55am
d