Bola Sepak

Jurulatih skuad belia cetek ilmu

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Status sebagai bekas pemain bola sepak profesional atau pernah mewakili skuad kebangsaan tidak menjamin bahawa individu berkenaan mempunyai kemahiran tinggi sebagai tenaga pengajar di peringkat akar umbi.

Situasi terbabit didedahkan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed berdasarkan tinjauannya terhadap beberapa pasukan Piala Presiden dan Belia apabila mendapati asas pengetahuan tenaga pengajarnya boleh di katakan ke 'laut'.

Walaupun cukup sukar untuk menyatakan realiti perkara itu, Firdaus berkata, melihat status sebagai bekas pemain kebangsaan yang dimiliki tenaga pengajar itu sebenarnya bukanlah jaminan bahawa individu berkenaan cekap untuk melatih pemain di peringkat akar umbi.

"Pelantikan atau pemilihan orang dalam bola sepak pastikan mempunyai kemahiran tinggi. Jika tengok di Thailand, kebanyakan tenaga pengajar mereka adalah individu yang mempunyai pengetahuan tinggi namun sekarang ini tidak berlaku di Malaysia.

"Memang individu berkenaan adalah bekas pemain kebangsaan tapi tiada kemahiran tinggi. Saya suka tengok di peringkat akar umbi orang yang mengajar mestilah memiliki kemahiran penuh seterusnya pemain muda ini hebat.

"Jika di Thailand, kita lihat tenaga pengajarnya semua berkemahiran tinggi dan paling penting ada antara mereka tidak bermain pun untuk negara. Kita nak orang yang berkemahiran tinggi sebagai tenaga pengajar bukannya bersandarkan kepada bekas pemain semata-mata. Hal ini kerana jika tiada kemahiran mengajar nak ajar apa kepada pemain muda," katanya pada sidang media selepas Majlis Taklimat Piala Presiden dan Piala Belia 2022, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, walaupun dua tahun kejohanan di peringkat belia tidak dapat dilaksanakan berikutan pandemik Covid-19, itu bukanlah punca utama 'stok' pemain muda tiada hingga menjejaskan keupayaan pasukan kebangsaan.

"Saya tak lihat perkara itu berlaku walaupun dua tahun tiada kejohanan di peringkat belia. Apa yang saya lihat pemain sebelum ini juga berpotensi untuk mewakili negara. "Cuma saya nak pesan kepada pengurusan bola sepak di peringkat negeri supaya mempergiatkan lagi usaha mencari bakat baharu.

"Kita tak mahu ada bakat yang boleh diketengahkan namun mereka tidak serius untuk memastikan bola sepak maju," katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2022 @ 10:11pm
d