Bola Sepak

'Tak patut suruh Hamidin undur'

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: "Jerman tak jadi juara Piala Dunia, ada tak kita dengar orang (penyokong Jerman) desak presiden bola Jerman letak jawatan?.

"Ini pula setakat Piala AFF kita nak suruh beliau (Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin) letak jawatan. Kena ingat juga, beliau bukan jaga satu pasukan saja tetapi keseluruhan termasuk bawah 23 (B-23) dan semuanya".

Itu kata Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berhubung desakan segelintir pihak terutamanya netizen yang mahu Hamidin melepaskan jawatan susulan kegagalan skuad Harimau Malaya di Piala AFF di Singapura bulan lalu.

Jelas Sathianathan yang juga bekas pengendali skuad kebangsaan lagi, desakan itu sebenarnya tidak berasas, di mana Hamidin tidak berada dalam hal-hal berkaitan teknikal dalam pengurusan pasukan.

"Kena faham sebenarnya, presiden bukanlah orang yang menentukan secara teknikal mengenai corak permainan, taktikal yang akan digunakan mahupun pemilihan pemain.

"Tetapi presiden selaku pengerusi skuad kebangsaan akan bertindak selaku pemudah cara contohnya, jurulatih nak berlatih di Jordan, jadi presiden dan sekretariat akan usahakan dan beri kebenaran.

"Malah, kena ingat juga, presiden bukannya jaga satu pasukan saja tetapi turut jaga skuad B-23, B-19, B-16 dan hal-hal berkaitan bola sepak dalam negara. Pasukan B-23 kita sudah layak secara merit ke Piala Asia tahun ini, adakah itu menunjukkan presiden kita gagal? Sudah tentu tidak. Jadi saya fikir, tak patut suruh Hamidin letak jawatan hanya sebab kita gagal di Piala AFF saja," katanya.

Semalam, Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin menyelar tindakan netizen yang mahu Hamidin melepaskan jawatan di FAM.

Jelas Bung Moktar, adalah tidak wajar untuk segelintir pihak mendesak agar Hamidin meletakkan jawatan ketika kesemua ahli gabungan FAM termasuk dirinya masih mempercayai dan menyokong kepimpinannya ketika ini.

Disiarkan pada: January 11, 2022 @ 10:59pm
d