Bola Sepak

Usah cepat menghukum FAM - Presiden Kafa

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Datuk Shaari Mat Hussain meminta agar semua pihak tidak cepat menghukum Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebaliknya bersabar dan menanti hasil bedah siasat yang akan dilakukan badan siasatan bebas mengenai aksi longlai skuad Harimau Malaya di Piala AFF di Singapura, bulan lalu.

Malah menurut Shaari, tindakan sesetengah pihak yang menuding jari kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin juga perlu dihentikan dengan memberi ruang kepada badan siasatan bebas yang akan dipengerusikan oleh Datuk Dell Akbar Khan sebelum menjatuh hukum terhadap FAM.

Walaupun ketua jurulatih Tan Cheng Hoe sudahpun meletakkan jawatan, Shaari menganggap badan siasatan bebas itu penting dalam mengenal pasti kelemahan dan kekuatan aspek pengurusan pasukan kebangsaan serta menganalisis perlawanan dari segi teknikal untuk ditambah baik menjelang kelayakan Piala Asia AFC 2023 Jun nanti.

"Kita kena hormati keputusan Cheng Hoe dan beliau bukanlah dikambinghitamkan dalam kes ini. Saya percaya badan siasatan bebas akan meneliti semua aspek, termasuk teknikal dan pengurusan, bagi memberi solusi serta cara-cara terbaik kita maju ke hadapan," katanya.

Ujarnya lagi, kegagalan pasukan negara di saingan serantau itu harus dilihat dari pelbagai perspektif bagi sama-sama memperbaiki kelemahan yang wujud sekali gus memajukan bola sepak negara.

"Bumi mana tidak ditimpa hujan yang penting semua teguran dan pandangan diambil kira untuk kami bergerak ke hadapan.

"Sepanjang tiga tahun beliau menjadi Presiden FAM, beliau tidak pernah ketinggalan mengikuti perkembangan pasukan kebangsaan, sama ada skuad bawah 19 tahun, bawah 23 tahun dan skuad kebangsaan.

"Kebanyakan aktiviti FAM juga beliau hadiri dan beri sokongan penuh atas komitmen beliau selaku Presiden. Kita kena ingat jadual Piala AFF 2020 sebenarnya banyak kali ditukar, asalnya Mac, kemudian Jun, Ogos dan akhirnya dimuktamadkan sebagai Disember. Hendak susun jadual susah," katanya.

Disiarkan pada: January 12, 2022 @ 3:13pm
d