Bola Sepak

Khalid tak lupa pesan Shebby

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Berita pemergian bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh nyata mengejutkan peminat bola sepak tempatan termasuk bekas penyerang negara, Khalid Jamlus.

Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, Khalid yang juga bekas pemenang Kasut Emas Liga Malaysia pada 2002 itu mengakui Serbegeth atau Shebby antara individu yang banyak memberi nasihat kepadanya.

Katanya, ketika dia masih aktif beraksi sebagai pemain profesional, Shebby mengingatkan kepadanya supaya sentiasa berusaha untuk menjadi penyerang berwibawa.

Malah, bekas pertahanan skuad negara yang memenangi pingat emas Sukan Sea di Kuala Lumpur pada 1989 itu turut menasihatkan agar Khalid sentiasa merendah diri agar disenangi semua pihak.

"Kata-kata beliau yang masih tersemat di dalam diri aku sehingga kini. Lid (Khalid) nak menjadi pemain hebat ko perlu usaha, peduli kan apa orang kata. Sebab perjalanan hidup ko baru bermula. Jangan lupa asal usul ko jangan besar kepala. …Sentiasa 'humble'. Takziah pada keluarga beliau," tulis Khalid.

Terdahulu, Shebby meninggal dunia pada usia 61 tahun pada petang tadi selepas jatuh pengsan dipercayai akibat sesak nafas ketika berbasikal di Iskandar Puteri, Johor.

Beliau memulakan kerjaya di gelanggang bola sepak sebagai pemain bahagian pertahanan bagi pasukan Johor sebelum berpindah ke pasukan bola sepak Kuala Lumpur pada 1983.

Mendiang juga pernah beraksi bagi pasukan Negeri Sembilan dan Pahang sebelum menamatkan kerjayanya dengan Perak pada tahun 1996.

Sejak bersara sebagai pemain kebangsaan, mendiang meneruskan khidmat sebagai jurulatih dan menjadi hos rancangan sukan di Asia.

Bukan sahaja pernah berkhidmat dalam mengendalikan pasukan kebangsaan, bahkan mendiang juga adalah Penasihat Global Blackburn Rovers pada 2012.

Disiarkan pada: January 12, 2022 @ 10:23pm
d