Bola Sepak

Blackburn ucap takziah pemergian Shebby

Oleh Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Blackburn Rovers mengucapkan takziah kepada keluarga bekas penasihat globalnya Serbegeth Singh yang meninggal dunia di Iskandar Puteri, semalam.

"Blackburn Rovers berasa sedih mendapat tahu berita pemergian bekas penasihat kelab Shebby Singh. Takziah daripada kami kepada keluarga dan rakan Shebby ketika menghadapi detik yang menyedihkan ini," menurut kelab itu dalam ciapan di laman Twitter rasmi mereka.

Shebby pernah berkhidmat sebagai penasihat global Blackburn selama semusim pada 2012-2013 selepas dilantik oleh pemilik kelab itu dari India, Venkateshwara Hatcheries Group atau lebih dikenali sebagai Venky's.

Sebaik ketibaannya, kelab itu yang baru saja tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris, berbelanja besar untuk mendapatkan pemain baharu bagi memperkasakan pasukan utama.

Blackburn berbelanja berjuta pound terhadap pembelian pemain dan bayaran ejen pemain seperti Danny Murphy, Nuno Gomes, Leon Best dan Dickson Etuhu selain lima pemain kurang dikenali dari Portugal.

Sepanjang satu kempen tunggal Liga Kejuaraan Shebby sebagai penasihat global, Rovers menyaksikan pembabitan tiga pengurus, berakhir di tangga ke-17 dan hanya berjaya mengelakkan terjerumus ke liga bawahan dua minggu sebelum liga berakhir.

Di ruangan komen, tidak semua memuji bekas pemain pertahanan kebangsaan itu yang sekembalinya ke Malaysia, meneruskan minatnya sebagai pengulas bola sepak bersama saluran Astro SuperSport, FoxSports dan ESPN Asia.

Jelas beberapa keputusan yang pernah dibuatnya tidak begitu disenangi penyokong kelab Ewood Park itu.

Namun ada yang sempat berbicara dengannya berasa senang dengan penampilannya yang tidak sombong.

"Saya masih ingat menonton Shebby sebagai pengulas ketika saya bekerja di Malaysia selama beberapa tahun. Kami sempat berbual seketika apabila saya bertemunya di Ewood dalam perjalanan ke satu perlawanan. Semoga Shebby bersemadi dengan aman di sana," ciap @Ewood_Elaine06.

"Tidak tahu menahu mengenai bola sepak elit dan tidak patut terbabit dengan kelab seperti Rovers, tapi anda dapat berasakan hatinya di tempat yang betul dan jangan lupa beliau menyingkirkan parasit itu, Kean (Steve Kean bekas jurulatih Blackburn). Itu adalah masa yang paling sukar.

Pernah sekali bercakap dengannya di luar Ewood, seorang lelaki yang baik. RIP," tulis Northern Ireland Rover.

Shebby, bekas pemain Johor, Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan dan Perak, meninggal dunia pada usia 61 tahun semalam selepas jatuh pengsan dan disyaki sesak nafas ketika berbasikal di Iskandar Puteri.

Disiarkan pada: January 13, 2022 @ 3:00pm
d