Bola Sepak

MFL cadang saingan liga bermula 8.15 malam

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) merancang untuk mengubah waktu sepak mula beberapa perlawanan Liga Malaysia (Liga M) pada 8.15 malam, berbanding 9 malam seperti musim sebelum ini.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam, pembaharuan itu dibuat atas beberapa faktor termasuklah meningkatkan nilai komersial liga dan menarik lebih ramai penyokong untuk hadir ke stadium.

Justeru, kemungkinan besar untuk musim ini saingan Liga M bakal menyaksikan tiga waktu berbeza akan digunakan iaitu 8.15 malam dan 9 malam, manakala untuk perlawanan di bulan Ramadan ia kekal dengan 10 malam.

"Di Semenanjung, ada perlawanan pukul 8.15 malam, 9 malam dan bulan Ramadan pada 10 malam, manakala perlawanan di Sabah dan Sarawak diadakan pada pukul 7.30 malam, 8.15 malam dan bulan Ramadan pukul 9.15 malam.

"Ini untuk memastikan adanya komersialisasi dan menambah baik pengalaman peminat ketika menyaksikan perlawanan.

"Berdasarkan kajian yang dibuat, apabila lebih awal perlawanan diadakan, ia membuka peluang lebih besar kepada pelbagai jenis peminat untuk membawa anak-anak mereka dan keluarga ke stadium.

"Malah, dalam keadaan pandemik Covid-19 ini, biasanya lepas habis perlawanan, kedai makan dan perkhidmatan lain ditutup dengan lebih awal.

"Jadi, dengan sepak mula yang baharu ini, kita boleh merasai satu hari itu hari bola sepak, beri peluang kepada peminat dan kelab untuk menjana pendapatan lebih banyak ketika hari perlawanan. Ini pembaharuan yang kita mahu maklumkan," katanya pada sesi taklimat kalendar Liga M 2022 bersama media semalam.

Bagaimanapun, keputusan muktamad mengenai perkara itu akan diumumkan tidak lama lagi selepas mendapat maklum balas dan persetujuan bersama dengan rakan penyiar rasmi perlawanan Liga M.

"Kita akan kongsikan butiran tempoh sepak mula nanti, apabila pihak penyiar memberikan jadual kepada kita, waktu untuk menyiarkan perlawanan.

"Kita akan maklumkan pada 1 Februari ini, selepas berunding dengan pihak penyiar dan mendapat maklum balas daripada pasukan-pasukan bertanding," katanya.

Disiarkan pada: January 13, 2022 @ 10:10pm
d