Bola Sepak

Liverpool gigit jari gagal manfaat kekurangan Arsenal

Oleh AFP

Liverpool: Arsenal terpaksa bertahan lebih sejam beraksi dengan kekurangan seorang pemain ketika bertemu Liverpool pada separuh akhir pertama Piala Liga yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri 0-0 di Anfield, hari ini.

The Gunners dilihat perlu membayar harga yang tinggi selepas kapten pasukan, Granit Xhaka dibuang padang kerana mengasari Diogo Jota hanya selepas 24 minit permainan.

Bagaimanapun, Liverpool nyata terkesan tanpa khidmat Mohamed Salah dan Sadio Mane terutama dalam usaha mencipta peluang bertemu lawan yang hanya beraksi dengan 10 pemain.

"Pemain mempamerkan semangat dan keazaman yang tinggi selain kerjasama sepasukan. Anda sendiri dapat melihat emosi mereka. Kami tidak pernah berputus asa," kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta.

Aksi separuh akhir pertama yang sepatutnya berlangsung di Emirates minggu lalu terpaksa ditangguhkan berikutan penularan Covid-19 di kalangan pemain Liverpool ketika Chelsea sudah menunggu lawan mereka pada aksi final di Wembley bulan depan.

The Reds kehilangan khidmat Salah dan Mane kerana tugasan antarabangsa bersama skuad kebangsaan masing-masing di Piala Negara-Negara Afrika.

Bagaimanapun Liverpool tidak berdepan masalah kecederaan dan Jurgen Klopp menyenaraikan barisan terkuat.

Xhaka kekal menjadi pilihan utama untuk Arteta di sebalik berdepan isu masalah disiplin.

Bagaimanapun dia terlepas untuk beraksi bertemu Tottenham awal pagi Isnin ini serta separuh akhir Piala Liga, Jumaat depan selepas dibuang padang buat kali kedua musim ini.

Arteta juga berdepan kebimbangan mengenai keadaan Bukayo Saka yang dilihat mengalami kecederaan di hujung perlawanan.

Disiarkan pada: January 14, 2022 @ 6:21am
d