Bola Sepak

Cameroon tempah tiket awal

Oleh AFP

Yaounde: Tuan rumah, Cameroon muncul pasukan pertama layak ke aksi kalah mati Piala Negara-Negara Afrika selepas kapten pasukan, Vincent Aboubakar dan Karl Toko-Ekambi masing-masing meledak dua gol ketika menewaskan Ethiopia 4-1 di Yaounde.

Ia adalah perlawanan yang kembali menghidupkan kejohanan itu selepas aksi peringkat kumpulan tampak hambar apabila hanya 12 gol berjaya dijaringkan sepanjang 12 perlawanan dengan empat daripadanya menerusi sepakan penalti.

Cameroon satu-satunya pasukan daripada 24 pasukan yang menjaringkan lebih satu gol pada perlawanan pertama mereka selepas dua jaringan Aboubakar menyaksikan mereka menewaskan Burkina Faso 2-1.

Dawa Hotessa bagaimanapun meletakkan Ethiopia minit ke-4 namun penyerang Lyon, Toko-Ekambi pantas menyamakan kedudukan minit ke-8 sebelum Aboubakar menambah dua gol pada separuh masa kedua dan Toko-Ekambi melengkapkan kemenangan tuan rumah.

"Kami beraksi dengan baik di bahagian serangan tetapi masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki di barisan pertahanan.

"Perlawanan kini semakin sukar," kata jurulatih Cameroon dari Portugal, Toni Conceicao.

Dengan kemenangan itu, juara lima kali Piala Negara-Negara Afrika itu kini menduduki tangga teratas Kumpulan A.

Mereka mempunyai kelebihan tiga mata berbanding Burkina Faso dan Cape Verde yang beraksi pada perlawanan terdahulu dan menyaksikan Burkina Faso melakar kemenangan 1-0 hasil gol Hassane Bande

Ethiopia, juara 1962, masih berusaha mendapatkan mata pertama dan kemenangan pertama di Piala Negara-Negara Afrika sejak 1976.

Disiarkan pada: January 14, 2022 @ 6:52am
d