Bola Sepak

Bilbao tumbangkan juara La Liga

Oleh AFP

Riyadh: Athletic Bilbao bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan juara La Liga, Atletico Madrid 2-1 hari ini sekali gus bakal bertemu Real Madrid pada final Piala Super Sepanyol.

Kelab itu yang memenangi Piala Super 2021, ketinggalan selepas sejam perlawanan apabila penjaga gol Bilbao, Unai Simon melakukan kesilapan berpunca daripada tandukan Joao Felix.

Bagaimanapun, Bilbao bangkit meraih dua gol dalam tempoh empat minit pada separuh masa kedua.

Yeray Alvarez menyamakan kedudukan minit ke-77 sebelum Nico Williams menjaringkan gol kemenangan sembilan minit sebelum tamat perlawanan berpunca daripada sepakan penjuru kapten pasukan, Iker Munian.

"Saya sangat beremosi ketika ini," kata Williams yang berusia 19 tahun dan beraksi pada perlawanan itu bersama abangnya, Inaki.

"Saya harap akan melalui banyak lagi detik gembira seperti ini. Saya sangat gembira dapat melalui pengalaman hebat ini bersama Inaki serta ibu yang memeluk kami selepas tamat perlawanan.

"Ibu beritahu saya berhak menerima pujian. Pelukan bersama abang saya selepas menjaringkan gol adalah detik yang tidak akan saya lupakan."

Penjaga gol Atletico, Jan Oblak mengakui dia serta rakan sepasukannya terkejut dengan kekalahan itu.

"Sukar untuk memberikan penjelasan. Kami bolos dua gol menerusi gerakan set piece. Kami dibolosi banyak kali menerusi gerakan sama musim ini. Ia berlaku lagi hari ini," kata penjaga gol antarabangsa Slovenia itu.

Disiarkan pada: January 14, 2022 @ 7:41am
d