Bola Sepak

Skuad B-23 tak perlu 'otai'

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Tiada kelibat seorang pun pemain senior akan dipanggil bagi memperkuatkan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara pada aksi jendela Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) dari 24 Januari hingga 1 Februari ini.

Pengendali skuad B-23, Brad Maloney mengesahkan kepada Arena Metro, beliau tidak akan menggunakan khidmat pemain senior meskipun boleh menyenaraikan beberapa 'otai' bagi membimbing pemain muda untuk aksi persahabatan antarabangsa.

Katanya, beliau hanya menyenaraikan kesemua pemain berusia B-23 yang turut akan dijadikan medan ujian terbaik sebelum bersaing di Kejuaraan AFF B-22 di Kemboja bermula dari 14-26 Februari depan.

"Majoriti pemain akan dipanggil adalah pemain yang lahir pada 2001 dan selepas itu," katanya ketika dihubungi sejurus berakhir mesyuarat pengurusan pasukan skuad B-23 hari ini.

Berkongsi dengan lebih jelas persiapan dan perancangan pasukan, beliau bercadang untuk mengadakan sekurang-kurangnya tiga hingga empat aksi sebelum berangkat ke Kemboja.

Malah, beberapa lokasi latihan di luar negara turut dirangka namun ia masih diperingkat perbincangan dengan pihak pengurusan.

"Saya bercadang memulakan kem latihan pada 24 Januari ini fasa berpusat (venue di Lembah Klang), biarpun kami sebenarnya turut berusaha untuk mengadakan latihan di luar negara, di mana satu atau dua lokasi sedang dikenal pasti.

"Dalam tempoh ini, saya merancang mengatur tiga hingga empat perlawanan persahabatan bagi mengisi kalendar Fifa hujung bulan ini sehingga sebelum ke Kemboja bulan depan," katanya.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan skuad Harimau Malaya tidak akan beraksi pada kalendar Fifa hujung bulan ini ekoran kekangan masa untuk melantik jurulatih baharu selepas Tan Cheng Hoe melepaskan jawatannya pada 2 Januari lalu.

Lantas bagi mengisi slot berkenaan, FAM menerusi Setiausaha Agungnya, Mohd Saifuddin Abu Bakar mengesahkan ruang itu akan digunakan oleh pasukan 'adik' Harimau Malaya iaitu skuad B-23 untuk aksi persahabatan.

Ditanya adakah kemungkinan khidmat pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal akan dipanggil, Maloney mengakui khdimat pemain tengah itu sentiasa berada dalam perancangannya namun tempoh kuarantin wajib Covid-19 mungkin menjadi halangan.

"Perkara ini sentiasa dibincangkan kerana kami berdepan kesukaran dengan sekatan kuarantin bagi pemain ini (Kuzri), namun dia sentiasa dalam radar pasukan untuk di bawa masuk," katanya.

Untuk rekod, selain saingan Kejuaraan AFF B-23 bulan depan, skuad kendalian Maloney juga dijadual menyertai tiga lagi pertandingan utama iaitu Sukan Sea di Vietnam (Mei ini), Piala AFC B-23 di Uzbekistan (Jun) dan temasya Sukan Asia di Hangzhou, China (September).

Disiarkan pada: January 14, 2022 @ 11:06pm
d