Bola Sepak

Ronaldo akui sedih jika gagal ke Piala Dunia

Oleh AFP

Sao Paulo: Bintang Portugal dan Manchester United, Cristiano Ronaldo dalam satu wawancara berkata terdapat kesukaran jika negaranya mahu layak beraksi di Piala Dunia buat kali keenam berturut-turut.

Portugal, juara Eropah 2016, akan bertemu Turki pada aksi playoff separuh akhir, Mac depan sebelum dijangka bertemu Itali pada aksi final, pasukan yang muncul juara Euro tahun lalu.

"Ia pasti amat menyedihkan jika tidak mencapai objektif kami, iaitu Piala Dunia," kata pemenang anugerah Ballon d'Or sebanyak lima kali itu kepada ESPN.

Ronaldo tidak pernah terlepas beraksi di kejohanan utama antarabangsa sejak melakukan penampilan pertama untuk Portugal pada 2003.

Dia sudah beraksi di empat Piala Dunia, lima saingan Euro termasuk melangkah ke pentas final pada 2004.

"Dalam bola sepak dan kehidupan, kita akan melalui waktu yang sukar tetapi apa yang penting ialah keupayaan untuk bangkit semula.

"Kami sedar yang kami akan berdepan kesukaran. Pertama ketika bertemu Turki dan jika menang, saya rasa kami akan bertemu Itali.

"Sama-sama kita nantikan. Pada Mac kami akan melakukan persediaan. Ia pasti sesuatu yang menyeronokkan untuk peminat bola sepak," kata bintang berusia 36 tahun itu.

Portugal akan melayan kunjungan Turki pada 24 Mac manakala Itali menanti kehadiran Macedonia Utara dengan aksi final berlangsung lima hari selepas itu.

Disiarkan pada: January 15, 2022 @ 8:34am
d