Bola Sepak

Messi anak emas, punca PSG untung besar [METROTV]

Oleh EFE

Paris: Sepanjang tempoh lima bulan sejak perpindahan menakjubkan Lionel Messi ke Paris Saint-Germain (PSG), bintang Argentina itu sudah meledak enam gol dan lima bantuan gol tetapi 'prestasi komersialnya' di luar padang boleh dikatakan memberi impak lebih besar kepada kelab.

Pemain berstatus bintang itu berjaya memikat lapan tawaran penajaan baharu untuk PSG dan dia mempunyai peranan penting dalam meyakinkan beberapa pemain ternama agar terus kekal bersama kelab itu.

Pada usia 34 tahun, pemenang Ballon D'Or tujuh kali itu mengekalkan statusnya sebagai 'magnet untuk perniagaan' dan ia sekali gus melupakan tanda harganya yang mahal bernilai 80 juta euro (RM381.5 juta).

Marc Armstrong, ketua pegawai perkongsian PSG, memberitahu bahawa dia menjangkakan pendapatan pada 2021 adalah 10 peratus lebih tinggi berbanding pada 2020.

Pendapatan PSG sudah meningkat pada kadar purata 20 peratus setahun sejak Qatar Sports Investments membeli kelab itu pada 2011.

Armstrong menambah pengaruh Messi membantu strategi perpindahan pemain ke kelab itu.

Kehadirannya di Parc des Princes membantu memikat pemain seperti Gianluigi Donnarumma dan Achraf Hakimim.

Malah auranya juga memainkan peranan kepada keputusan Kylian Mbappe untuk kekal di ibu negara Perancis itu, sekurang-kurangnya bagi setahun lagi.

Dalam soal pembelian pemain, PSG nyata tidak pernah berasa puas. Kelab itu sudah membelanjakan lebih daripada 1.4 bilion euro (RM6.6 bilion) untuk membeli pemain sejak pemilik dari Qatar mengambil alih.

Sejak Messi menandatangani kontraknya pada 10 Ogos 2021, lapan rakan komersial baharu daripada pelbagai industri menyertai PSG.

Disiarkan pada: January 15, 2022 @ 12:20pm
d