Bola Sepak

Coutinho buat Man United gigit jari

Oleh AFP

Birmingham: Steven Gerrard memuji penampilan pertama Philippe Coutinho bersama Aston Villa selepas gol penyamaan bintang Brazil itu pada lewat perlawanan menyaksikan mereka bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk melakar keputusan seri 2-2 dengan Manchester United, hari ini.

Empat tahun selepas kali terakhir dia beraksi di Liga Perdana bersama Liverpool, Coutinho memberikan impak yang pantas sebaik kembali ke England selepas dipinjamkan dari Barcelona minggu ini.

Coutinho masuk sebagai pemain gantian pada pertengahan separuh masa kedua ketika Villa ketinggalan 0-2 selepas Bruno Fernandes menjaringkan dua gol untuk United.

Pemain berusia 29 tahun itu menjadi arkitek kepada gol Jacob Ramsey untuk memberi harapan semula kepada Villa ketika perlawanan berbaki 13 minit.

Coutinho kemudian menyempurnakan hantaran Ramsey lima minit kemudian untuk memastikan skuad bimbingan Gerrard berjaya menebus kekecewaan disingkirkan United pada pusingan ketiga Piala FA.

Coutinho melalui tempoh mengecewakan di Barcelona namun Gerrard yakin beliau mampu membawa penyerang itu kembali kepada tahap terbaiknya sepertimana ketika bersama Liverpool.

"Ia permulaan yang baik. Kami membawa pemain berkualiti ke kelab ini. Kami perlu membantu meningkatkan prestasinya.

"Kami melepaskan gol yang sia-sia tetapi tidak mudah mengalah, sebaliknya menunjukkan karakter sebenar dan tahap kepercayaan yang tinggi," kata Gerrard.

United kini mengharungi dua perlawanan liga tanpa melakar kemenangan selepas tewas kepada Wolves pada perlawanan terdahulu.

Dengan United kini menduduki tempat ketujuh liga, terdapat persoalan mengenai pengurus sementara, Ralf Rangnick.

Barisan pemain United dilaporkan tidak gembira dengan kaedah latihannya serta kakitangan sokongannya.

Disiarkan pada: January 16, 2022 @ 7:19am
d