Bola Sepak

Sulaiman sokong Hamidin kekal terajui FAM [METROTV]

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: "Janganlah disebabkan satu kegagalan itu kita minta (Hamidin) letak jawatan, sabar, semua orang boleh berikan pandangan tapi janganlah satu kali gagal itu, dia gagal semuanya," kata Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Beliau yang diminta mengulas sokongannya terhadap Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin bagi menerajui kepimpinan badan induk bola sepak negara terbabit juga meminta semua pihak perlu bersabar.

Katanya, peluang harus diberikan kepada Hamidin biarpun ada yang mendesak meletakkan jawatannya disebabkan kegagalan dalam memimpin pasukan negara.

"Masing-masing boleh berikan pandangan, saya selaku Presiden MUSA, saya beri pandangan juga bahawa Datuk Hamidin masih lagi perlu diberi peluang.

"Bukan kegagalan itu akan berterusan, tidak, kita tak boleh salahkan, disebabkan pemain, jurulatih dan sebagainya," katanya.

Sulaiman berkata, setiap pandangan dan kritikan netizen di media sosial terhadap FAM perlulah diterima dan ditambah baik demi masa depan persatuan berkenaan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Kongres MUSA ke-66 diadakan di Ayer Keroh hari ini.

Hadir sama, Exco Sukan, VP Shanmugam dan Ketua Pegawai Eksekutif KenTeam, Justin Lim.

"Netizen dia cakap apa pun boleh, jadi janganlah ambil semua desakan itu, kalau saya melihat netizen boleh hentam, apa pun dia boleh cakap,

"Kalau saya (umpamanya) memikirkan itu saja mengatakan saya tak boleh tadbir dan menguruskan negeri, maka jatuhlah kerajaan ini kalau nak memikirkan netizen.

"Netizen memang boleh memberi pandangan, kita terima, kita ambil kita tambah baik mana yang kurang, kritikan itu kita terima sebaik mungkin, yang betul, betul dan yang salah tetap salah," katanya.

Disiarkan pada: January 16, 2022 @ 2:09pm
d