Bola Sepak

Yazan anggap kualiti Liga M meningkat

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pemain import baharu Selangor FC, Yazan Al-Arab mempunyai misi serampang dua mata apabila bukan hanya memasang impian untuk membantu pasukan mencipta kejayaan namun turut mahu 'memasarkan' Liga Malaysia (Liga M) kepada pemain Timur Tengah.

Menurut Yazan, dia mahu mengubah persepsi atau pandangan pemain Timur Tengah supaya mereka mengubah haluan untuk berkhidmat dengan pasukan di Asia Tenggara.

Katanya, dia melihat kualiti Liga M kian meningkat sekali gus teruja untuk merasai pengalaman dan cabaran untuk berentap dalam kancah bola sepak domestik.

"Ini satu cabaran baharu buat saya dan saya juga mahu memberikan sesuatu untuk dibanggakan oleh penyokong Selangor FC. Salah satu sebab saya ke sini adalah untuk mengubah persepsi pemain dari tempat saya mengenai Liga M.

"Saya menerima banyak tawaran daripada kelab di sana. Tetapi mungkin (penyertaan saya di Liga M) akan membuka lebih banyak peluang kepada pemain Timur Tengah untuk datang ke sini," katanya.

Terdahulu, bekas pemain Al-Wehdat bersama rakan sepasukan kebangsaannya, Baha' Abdel-Rahman diperkenalkan kepada penyokong SFC pada Hari Jersi Selangor yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.

Jangkaan tinggi pasti diletakkan kepada Yazan terutama selepas melihat prestasi pemain import Selangor FC pada musim 2021 yang kurang 'menyengat' sekali gus memaksa pasukan melepaskan mereka.

"Saya sedar mengenai pemain import musim lalu tetapi mungkin tidak akan berdepan masalah untuk menyesuaikan diri di sini kerana saya pun beraksi dalam liga di Asia.

"Situasi padang, suasana dan cuaca tidak seharusnya menjadi isu kerana tidak ada jurang yang ketara antara di sana dengan di sini. Saya akan memberikan yang terbaik buat pasukan," katanya.

Disiarkan pada: January 17, 2022 @ 6:44pm
d