Bola Sepak

Lewandowski Pemain Terbaik Fifa, Lamela menang Puskas

Oleh AFP

Paris: Penyerang Bayern Munich dari Poland, Robert Lewandowski mengekalkan gelaran Pemain Terbaik Fifa manakala kapten Barcelona, Alexia Putellas dipilih pemenang kategori wanita dalam majlis 'The Best' of 2021 awal pagi tadi.

Lewandowski yang berusia 33 tahun mencipta rekod jaringan Bundesliga musim lalu dan mengatasi pemain Paris Saint-Germain, Lionel Messi serta bintang Liverpool dari Mesir, Mohamed Salah untuk memenangi anugerah itu.

"Saya gembira dan satu penghormatan memenangi anugerah ini dan saya rasa sangat bangga," kata Lewandowski yang meledak 48 gol untuk kelab dan negaranya pada musim 2020-2021.

Lewandowski juga menjaringkan tiga gol hujung minggu lalu untuk jumlah keseluruhan 39 gol dalam 33 perlawanan bagi musim 2021-2022.

Anugerah itu menjadi penawar duka kepada penyerang Polang itu yang tewas kepada Messi bagi merebut Ballon d'Or pada November lalu.

Alexia berusia 27 tahun pula menjadi tonggak skuad wanita Barcelona yang menjuarai liga Sepanyol dan Liga Juara-Juara Uefa.

Cristiano Ronaldo merangkul Anugerah Istimewa selepas mencipta rekod jaringan antarabangsa terbanyak untuk negaranya dengan mengatasi rekod Ali Daei yang menjaringkan 109 untuk Iran.

Ronaldo, 36, kini mengumpul 115 gol dalam 184 perlawanan bersama Portugal selepas tampil kali pertama pada 2003 ketika berusia 18 tahun.

"Saya tak pernah jangka dapat mengatasi rekod ini, terima kasih kepada rakan sepasukan selama 20 tahun," kata Ronaldo yang turut memegang rekod jaringan terbanyak Liga Juara-Juara dengan 140 gol.

Chelsea merangkul kedua-dua anugerah jurulatih terbaik dengan Thomas Tuchel untuk kategori lelaki manakala Emma Hayes dipilih jurulatih terbaik wanita.

Tuchel membawa Chelsea meraih gelaran Liga Juara-Juara selepas mengendalikan Chelsea pada Januari dan Emma pula menjuarai Liga Super Wanita, Piala FA dan Piala Liga di England.

Kelab Barat London itu turut meraih satu lagi pengiktirafan menerusi penjaga golnya dari Senegal, Edouard Mendy yang memenangi anugerah Penjaga Gol Lelaki Terbaik manakala penjaga gol Olympique Lyonnais dari Chile, Christiane Endler dipilih pemenang kategori wanita.

Anugerah Puskas untuk gol terbaik dimenangi pemain Argentina, Erik Lamela yang kini menyarung jersi kelab Sepanyol, Sevilla menerusi jaringannya untuk Tottenham Hotspur ketika menentang Arsenal.

Skuad kebangsaan Denmark dan petugas perubatan mereka dipilih pemenang anugerah Fair Play hasil tindakan pantas ketika Christian Eriksen pengsan di atas padang ketika aksi Euro 2020 menentang Finland.

Disiarkan pada: January 18, 2022 @ 8:04am
d