Bola Sepak

Milan berang angkara pengadil

Oleh Reuters

Rome: Emmanuel Gyasi meledak gol kemenangan pada minit ke-96 bagi membolehkan Spezia bangkit menewaskan AC Milan 2-1 dalam aksi kontroversi di San Siro awal pagi tadi sekali gus menjejaskan impian tuan rumah memburu gelaran Serie A.

Pemain sayap Milan, Rafael Leao meletakkan Milan di depan pada penghujung babak pertama selepas Theo Hernandez terlepas penalti tetapi pelawat menyamakan kedudukan menerusi Kevin Agudelo.

Junior Messias menyangkakan dia menjadi wira tuan rumah apabila rembatannya menerjah jaring pada masa kecederaan tetapi pengadil membatalkannya kerana berlaku kekasaran lebih awal ke atas pemain Milan Ante Rebic dan Spezia meledak gol kemenangan ketika hanya menunggu tiupan wisel.

"Saya cuba menenangkan pemain tetapi gagal," kata jurulatih Milan, Stefano Pioli merujuk insiden jaringan yang dibatalkan pengadil, Marco Serra.

"Kami tahu ia tidak adil, memalukan."

Skuad Pioli terlepas peluang terbaik bagi memintas pendahulu Inter Milan tetapi kini kekal ketinggalan dua mata di beIakang.

Spezia pula melonjak ke tangga ke-14 dengan 22 mata, enam mata di atas zon penyingkiran.

Dalam perlawanan lain, pasukan di tangga ketiga, Napoli merapatkan jurang dengan dua kelab teratas hasil kemenangan 2-0 di Bologna menerusi dua jaringan Hirving Lozano dan kini hanya dua mata di belakang Milan.

Disiarkan pada: January 18, 2022 @ 8:35am
d