Bola Sepak

Pengalaman luas aset Che Rashid

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Pemain pertahanan baharu Negeri Sembilan FC (NSFC), Che Rashid Che Halim mahu memastikan kehadirannya mampu memberi impak positif kepada kekuatan pasukan sepanjang tempoh saingan Liga Malaysia musim ini.

Berpengalaman lebih lapan tahun dalam saingan liga berprestij tempatan dan dengan lebih 100 penampilan sejak 2013, pemain pertahanan kanan itu yakin dapat memberikan sumbangan terbaik kepada skuad Hobin Jang Hobin.

"Saya ingin mencari pengalaman dan cabaran baharu dalam usaha memantapkan lagi prestasi dan persembahan bersama Negeri Sembilan yang kembali beraksi dalam Liga Super.

"Saya berharap benar-benar dapat memberi impak positif kepada kekuatan Negeri Sembilan dan seterusnya membantu menjulang pasukan ini ke mercu kejayaan," katanya di sini, hari ini.

Che Rashid yang juga pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum dipinjamkan ke Melaka United FC musim lalu, akui selesa menjalani latihan di bawah bimbingan K Devan dan banyak ilmu baharu yang dipelajarinya.

Bagaimanapun, pemain berusia 27 tahun itu mengakui perlu terus bekerja keras mencapai tahap prestasi terbaik untuk memastikan hasrat berada dalam kesebelasan utama tidak tersasar.

"Saya sedar perlu bersaing dengan ramai pertahanan lain untuk merebut tempat dan perlu buktikan prestasi kita yang terbaik dalam kalangan pemain lain. Saya berharap melalui pengalaman yang ada ketika bersama JDT, JDT II dan Melaka United sebelum ini memberi kekuatan untuk Devan meletakkan saya dalam barisan utama," katanya.

Biarpun musim pertama bersama skuad Rusa itu, secara peribadi dia menyasarkan Negeri Sembilan sekurang-kurangnya di tangga ke lima carta Liga Super pada akhir musim nanti.

"Memang ia suatu cabaran besar dan tugas berat jika melihat kepada standard saingan Liga Super yang sudah banyak meningkat. Tapi, melalui barisan pemain baharu dan berpengalaman termasuk tenaga import yang setakat ini dimaklumkan iaitu Herold Goulon dan David Gordon Mawutur, saya yakin dan percaya impian itu bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai," katanya.

Negeri Sembilan dijadual bertemu Sabah FC pada aksi pembuka tirai Liga Super musim ini di tempat lawan pada 5 Mac depan.

Disiarkan pada: January 19, 2022 @ 2:56pm
d