Bola Sepak

Skuad Jang bukan pelengkap Liga Super

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pendatang baharu Liga Super, Negeri Sembilan jelas tidak mahu tampil sebagai pasukan pelengkap semata-mata apabila membuat rombakan kepada barisan pemainnya supaya tampil lebih meyakinkan pada musim depan.

Ini terbukti apabila skuad kendalian K Devan itu hanya mengekalkan 12 pemain daripada skuad ketika menjuarai Liga Perdana musim lalu dan selebihnya adalah pemain baharu dalam usaha memperkuatkan pasukan.

Devan berkata, tiada lagi istilah pemain tangkap muat dalam pasukan apabila mereka akan dimaanfaatkan sebaik mungkin dalam usaha memastikan terus kekal dalam saingan Liga Super.

"Memandangkan kita layak ke Liga Super, kita kekalkan 12 pemain daripada skuad sebelum ini. Kita bawa masuk pemain yang berpengalaman di Liga Super termasuk import.

"Daripada kajian yang kita buat, kita mahu memilih pemain yang mampu beri impak kepada pasukan kerana kita mahu kekal lebih lama di Liga Super," katanya.

Skuad Hobin Jang Hobin 'turun pangkat' selepas menghuni tangga tercorot Liga Super 2018 dan hanya menamatkan saingan di tangga keenam pada aksi Liga Perdana 2019.

Selepas berdepan saingan tidak menentu sepanjang pandemik Covid-19, kepulangan semula Devan bersama Negeri Sembilan jelas beri impak besar apabila menjuarai Liga Perdana musim lalu, mengetepikan pasukan pilihan, Sarawak United.

Sementara itu, beliau berkata, keputusan mengambil bekas pemain import Sri Pahang FC, Herold Goulon disebabkan mahu memastikan terdapat individu yang mampu memimpin pasukan kelak.

"Kita ambil Herold Goulon kerana kita memerlukan seorang pemain yang memiliki kepimpinan daripada bawah. Dia memiliki ketenangan dan kualiti hantaran yang cukup baik," katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2022 @ 7:10pm
d