Bola Sepak

Aksi persahabatan uji pemain Perlis United

Oleh Aizat Sharif

Kangar: Wakil tunggal skuad Singa Utara dalam pertandingan bola sepak negara, Perlis United Football Club atau Perlis United FC akan menggunakan siri perlawanan persahabatan sebagai medan untuk menguji barisan terbaik skuad itu dalam menghadapi saingan Liga Malaysia Divisyen 3 (M3) pada Februari ini.

Pengendalinya. Azizul Abidin berkata, perlawanan persahabatan dengan sebuah lagi kelab dari Liga M3 yang berasal dari Pulau Pinang iaitu Bukit Tambun FC pada Sabtu ini adalah peluang terbaiknya untuk melihat kombinasi pemain terbaik yang akan didaftar bagi menghadapi saingan liga berkenaan.

"Dari segi persiapan pasukan, kita masih lagi cuba membentuk satu barisan pemain yang terbaik bagi menghadapi Liga M3 ini dimana latihan sudah pun bermula sejak 3 Januari lalu.

"Malah, pada minggu pertama bulan ini juga, kita sudah melakukan pemilihan pemain dan sepanjang minggu kedua dan ketiga juga, kita sudah pun mengugurkan beberapa pemain daripada skuad kerana kurang mencapai prestasi yang dikehendaki dan sehingga hari ini 25 orang dari skuad utama kelab ini masih kekal.

"Oleh hal demikian, perlawanan persahabatan bertemu dengan Bukit Tambun FC ini akan dijadikan medan untuk menguji pemain yang benar berpotensi serta terbaik untuk didaftarkan bermain dalam saingan Liga M3 nanti dan ironinya kelab Bukit Tambun FC ini adalah kelab yang diletakkan dalam satu kumpulan dengan kita dalam saingan Liga M3," katanya ketika ditemui selepas latihan kelab berkenaan di Padang C Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, di sini semalam.

Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan untuk terus menggugurkan pemain sekiranya didapati prestasi mereka sepanjang latihan atau perlawanan persahabatan tidak memberangsangkan.

"Tarikh akhir untuk pendaftaran pemain yang akan beraksi dalam Liga M3 adalah 7 Februari hadapan namun saya tidak menolak sekiranya ada pengguguran pemain dilakukan andainya prestasi tidak memberangsangkan.

"Apa pun buat masa sekarang kita masih mengekalkan 25 pemain sedia ada untuk menghadapi saingan liga berkenaan dan pemain saya ini masih lagi dalam proses membentuk keserasian dalam pasukan," katanya.

Azizul berkata, kombinasi antara pemain muda serta pemain senior dan berpengalaman seperti Azmizi Azmi yang sudah beraksi bersama beberapa pasukan seperti Perlis, Kedah, PDRM FA, PKNS FC dan Felda United dijangka mampu memberi saingan kepada pasukan lain.

"Saya lihat setakat ini proses ke arah keserasian itu sudah ada ditambah dengan kehadiran pemain tonggak berpengalaman seperti Azmizi Azmi juga mampu memberi motivasi kepada pemain muda untuk terus menghadirkan gol dalam saingan itu nanti.

"Selain itu melihat kepada saingan Perlis United FC pada Liga M3 pada musim ini juga agak mencabar bahkan pasukan lawan yang diletakkan dalam kumpulan yang sama dengan kita juga tidak kurang hebatnya.

"Namun, saya optimis bahawa kita mampu layak ke Liga Perdana pada musim hadapan dan sekaligus membawa cabaran sebagai wakil tunggal Perlis di pentas yang lebih tinggi selepas ini," katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2022 @ 8:52pm
d