Bola Sepak

Rekod kemenangan berterusan Man City berakhir

Oleh AFP

Southampton: Pep Guardiola mempertahankan Manchester City selepas rekod kemenangan 12 perlawanan berturut-turut pendahulu Liga Perdana Inggeris itu berakhir apabila sekadar seri 1-1 dengan Southampton, hari ini.

City dikejutkan dengan gol Kyle Walker-Peters seawal minit ke-7 di Stadium St Mary.

Selepas mempamerkan aksi di bawah prestasi sebenar, skuad bimbingan Guardiola bangkit semula pada separuh masa kedua.

Pertahanan Sepanyol, Aymeric Laporte menyamakan kedudukan namun City gagal meneruskan rekod kemenangan pada perlawanan yang menyaksikan mereka menguasai perlawanan.

Keputusan itu menyaksikan City selaku juara bertahan kekal menduduki tangga teratas dengan kelebihan 12 mata berbanding Liverpool yang masih kurang dua perlawanan dan bakal bertemu Crystal Palace malam ini.

"Hari ini kami menunjukkan aksi konsisten. Jika ada yang menganggap pada perlawanan itu bahawa kami malas, sombong atau cuba untuk tidak memenangi perlawanan, ia tidak benar sama sekali," kata Guardiola.

Buat kali pertama sejak mereka tewas 0-2 kepada Palace pada 30 Oktober lalu, City menamatkan perlawanan liga tanpa meraih tiga mata penuh.

Namun mereka masih kekal berada di landasan tepat untuk memenangi kejuaraan liga buat kali keempat dalam tempoh lima musim.

Guardiola juga tidak bimbang dengan kemungkinan Liverpool mampu untuk merapatkan jurang.

"Sebagai pengurus, saya yakin dengan kemampuan barisan pemain. Selepas perlawanan ini, persaingan masih lagi terbuka," katanya.

Disiarkan pada: January 23, 2022 @ 8:07am
d