Bola Sepak

Dron kacau aksi Brentford, Wolves

Oleh AFP

London: Aksi Liga Perdana membabitkan Brentford dengan Wolves hari ini ditangguhkan selama 20 minit semasa separuh masa pertama selepas dron terbang di atas stadium.

Dron itu muncul di atas Stadium Community Brentford di Barat London berhampiran lapangan terbang Heathrow selepas 31 minit perlawanan berlangsung dengan keputusan masih 0-0.

Pengadil, Peter Bankes dan pegawai keempat, Martin Atkinson mengarahkan pemain untuk meninggalkan padang sepertimana peraturan Liga Perdana dan satu pengumuman dilakukan bagi memaklumkan perlawanan terpaksa dihentikan kerana kehadiran dron itu.

Kedua-dua pasukan dilihat kebingungan dengan kapten Wolves, Conor Coady bertanya kepada Bankes apa sebenarnya yang berlaku sebelum perlawanan kemudian bersambung semula.

Sebelum itu, perlawanan sudah tertangguh selama enam minit selepas berlaku pertembungan antara pemain Brentford, Mathias Jensen dan Rico Henry yang menyaksikan kedua-duanya mengalami kecederaan di kepala.

Wolves memenangi perlawanan itu selepas menewaskan Brentford 2-1.

Disiarkan pada: January 23, 2022 @ 8:43am
d