Bola Sepak

Gol kemenangan Man United diragui

Oleh Agensi

London: Gol kemenangan Manchester United pada masa kecederaan ketika bertemu West Ham, hari ini mencetuskan perdebatan sama ada gol itu sah atau tidak.

Anthony Martial bergandingan dengan Edinson Cavani sebelum bintang Uruguay itu melorongkan bola kepada Marcus Rashford yang kemudian menjaringkan gol untuk kemenangan 1-0.

Video bantuan pengadil (VAR) dirujuk bagi memeriksa sama ada terdapat pemain ofsaid tetapi jaringan itu kekal disahkan sekali gus United melonjak di kedudukan keempat Liga Perdana.

Penyokong memberi reaksi di Twitter selepas tamat perlawanan. Seorang penyokong berkata: "Boleh sesiapa jelaskan kepada saya adakah Cavani ofsaid?"

Ramai yang berpendapat penyerang Uruguay itu berada dalam kedudukan ofsaid termasuk seorang peminat Chelsea.

"Marcus Rashford menjaringkan gol kemenangan ketika bertemu West Ham di hujung perlawanan tetapi jelas sekali Edison Cavani berada dalam kedudukan ofsaid," tulisnya.

Seorang penyokong West Ham pula berkata: "Liga ini sangat korup. Bagaimana VAR tidak dapat melihat yang Cavani sudah ofsaid?"

Penyokong Liverpool pula meminta kepastian adakah Cavani berada dalam situasi ofsaid atau pandangannya yang salah.

Disiarkan pada: January 23, 2022 @ 11:10am
d