Bola Sepak

Pendedahan aset berharga Javabilaarivin

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Pendedahan yang diterima sepanjang musim lalu menjadi aset berharga buat penyerang muda Negeri Sembilan FC (NSFC), N Javabilaarivin, untuk memberikan sumbangan lebih baik pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Biarpun peluang berada dalam barisan kesebelasan utama musim ini mungkin sukar kerana persaingan sengit daripada pemain berpengalaman dan import, namun dia tetap menanam azam untuk memastikan peluang itu tidak tersasar.

"Peluang beraksi dan membantu Negeri Sembilan menjulang kejuaraan Liga Perdana musim lalu begitu bermakna bagi saya dan suatu pengalaman paling berharga sebagai pemain bola sepak profesional.

"Walaupun saya pernah menganggotai skuad Bawah 19 Tahun (B-19) kebangsaan pada 2019 di bawah bimbingan Bojan Hodak, namun ia berbeza dengan saingan Liga M yang kini sudah banyak peningkatan.

"Apapun saya rasa begitu teruja kerana dapat beraksi dalam saingan Liga Super dan berharap dapat memberikan persembahan lebih baik bagi membantu Negeri Sembilan meraih kejayaan cemerlang musim ini," katanya di sini, hari ini.

Javabilaarivin yang kerap diturunkan sebagai penyerang gantian pada musim lalu dan berjaya meledak tiga gol, terus mendapat kepercayaan pengurusan NSFC khususnya ketua jurulatih K Devan, apabila dia dikekalkan dalam skuad Hobin Jang Hobin, bagi saingan musim ini.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur dan dibesarkan di Seremban itu akui saingan Liga Super lebih kompetitif daripada apa yang diharunginya musim lalu.

Justeru itu, dia akan bekerja keras bagi meningkatkan lagi skil permainannya selaras dengan sandaran diberikan kelab dan harapan tinggi peminat terhadap pasukan itu.

"Tambahan pula, musim ini kami bukan sahaja berhadapan cabaran dalam Liga Super, malah Piala FA dan Piala Malaysia.

"Ia sudah tentu menuntut setiap pemain memberikan komitmen lebih 100 peratus dalam setiap perlawanan bagi menjamin keputusan positif dicapai," kata pemain berusia 22 tahun itu.

Dalam pada itu, Javabilaarivin akui banyak perubahan berlaku pada tahap permainannya selepas hampir sebulan menjalani latihan dan yakin melalui sokongan serta bimbingan Devan serta rakan lain seperti Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak dan Annas Rahmat, prestasinya mampu ditingkatkan lagi.

"Sebagai pemain penyerang sudah tentu sandaran diberikan begitu tinggi dan saya mahu memastikan tanggungjawab yang diberikan pasukan dapat digalas dengan baik tahun ini," kata penyerang muda yang juga boleh beraksi di bahagian tengah.

Disiarkan pada: January 23, 2022 @ 5:25pm
d