Bola Sepak

Januari seperti 'Jekyll dan Hyde' - Klopp

Oleh AFP

London: Jurgen Klopp berkata dia berasa lega mengharungi Januari ketika Liverpool masih dalam persaingan memburu gelaran Liga Perdana selepas menewaskan Crystal Palace 3-1 malam tadi.

Skuad Klopp menyerlah ketika ketiadaan Mohamed Salah dan Sadio Mane yang beraksi di Piala Negara Afrika apabila mendahului 2-0 menerusi jaringan Virgil van Dijk dan Alex Oxlade-Chamberlain

Tetapi mereka memerlukan ketangkasan penjaga gol Alisson Becker dan penalti lewat Fabinho bagi memastikan kemenangan yang mengurangkan jurang sembilan mata dengan pendahulu Manchester City.

"Jelas sekali berdasarkan sejarah, Januari bulan yang sukar bagi kami," kata Klopp. "Anda beraksi tanpa tiga pemain di Afrika dan beberapa lagi, jadi kami mempunyai kumpulan kecil tetapi mereka beraksi sangat baik.

"Ia seperti bola sepak Jekyll dan Hyde hari ini. Ia menunjukkan betapa bagusnya kami dan betapa buruk juga!"

Liverpool turut berkelebihan satu perlawanan dalam tangan berbanding City manakala Salah dan Mane akan kembali semula untuk aksi Liga Perdana seterusnya dalam masa 18 hari lagi.

Kemenangan 12 perlawanan liga berturut-turut City berakhir selepas seri 1-1 di Southampton kelmarin sekali gus menyalakan impian Liverpool.

Tetapi Klopp berkata pasukannya perlu bekerja keras untuk mengejar juara bertahan itu.

"Jarak itu terlalu jauh tetapi kami tak perlu perkatakannya. Kami hanya perlu menang perlawanan selepas ini," kata pengendali dari Jerman itu.

Disiarkan pada: January 24, 2022 @ 8:25am
d