Bola Sepak

Watford pecat Ranieri

Oleh AFP

London: Pengurus Watford, Claudio Ranieri dipecat selepas hanya mengendalikan 14 perlawanan bersama kelab yang sedang bergelut dalam Liga Perdana itu.

Ranieri menggantikan Xisco Munoz pada Oktober lalu selepas jurulatih dari Sepanyol itu disingkirkan tetapi pengurus dari Itali berusia 70 tahun terbabit gagal mengubah nasib Watford apabila hanya meraih tujuh mata sejak dia mengendalikan kelab.

Selepas hanya 112 hari, Ranieri menerima padah susulan kemerosotan Watford yang kini menghuni zon penyingkiran selepas tewas 0-3 kepada Norwich minggu lalu.

"Kelab Bola Sepak Watford mengesahkan pemecatan jurulatih ketua jurulatih Claudio Ranieri," menurut kenyataan kelab awal pagi tadi.

Watford menduduki tangga kedua terbawah, dua mata daripada zon selamat selepas tewas tujuh daripada lapan aksi terakhir liga.

Mereka tidak menang dalam sembilan perlawanan dalam semua kejohanan, rekod terburuk sejak 2013.

Bekas pengurus Crystal Palace, Roy Hodgson antara calon popular dilantik menjadi pengendali baharu Watford.

Disiarkan pada: January 25, 2022 @ 8:30am
d