Bola Sepak

Cameroon perit atasi Comoros

Oleh AFP

Yaounde: Tuan rumah Cameroon menempah pertembungan suku akhir Piala Negara Afrika menentang Gambia selepas bekerja keras menewaskan Comoros 2-1 yang beraksi 10 pemain awal pagi tadi.

Pertahanan kiri, Chaker Alhadhur mengawal gawang Comoros selepas dua daripada tiga penjaga gol mereka dijangkiti Covid-19 manakala seorang lagi mengalami kecederaan.

Kapten mereka Nadjim Abdou pula dibuang padang pada awal permainan dan Karl Toko-Ekambi meletakkan Cameroon di depan sebelum ketua pasukan, Vincent Aboubakar meledakkan jaringan keenamnya dalam kejohanan itu.

Walaupun berdepan masalah, Comoros mempamerkan tentangan bersemangat dan berjaya mendapat satu gol menerusi sepakan percuma menarik Youssouf M'Changama pada lewat perlawanan.

"Saya tak fikir hanya saya seorang wira. Saya lakukan apa yang sepatutnya dan rakan sepasukan membantu saya," kata Alhadhur yang beraksi bersama kelab Ligue 2 Perancis, Ajaccio dan terpaksa menutup nombor tiga di belakang jersinya ketika mengendalikan gawang.

Pasukan kerdil dari Kepulauan Lautan Hindi itu mara kali pertama ke saingan 16 terakhir kejohanan selepas muncul antara pasukan ketiga terbaik peringkat kumpulan.

Dalam satu lagi perlawanan Gambia yang menduduki ranking 150 dunia mencipta kejutan apabila menyingkiran Guinea 1-0 hasil jaringan menarik pemain Bologna, Musa Barrowside pada babak kedua.

Disiarkan pada: January 25, 2022 @ 9:17am
d