Bola Sepak

Pengalaman luas aset Khuzaimi

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Pengalaman dua musim bersama UiTM FC ternyata amat berharga buat bekas pertahanan pasukan itu, Ahmad Khuzaimi Piee apabila berjaya membentuk dirinya menjadi pemain lebih berkualiti.

Kini pemain berusia 29 tahun itu menyertai Negeri Sembilan FC (NSFC) untuk terus kekal beraksi di pentas Liga Super pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Khuzaimi tidak menolak kariernya bersama Melaka United FC pada musim 2019 agak tenggelam dan keputusan berpindah ke UiTM FC selama dua musim sedikit sebanyak membantu memperbaiki prestasinya.

Dia bersyukur apabila masih berpeluang beraksi di pentas liga tertinggi tempatan apabila khidmatnya ditagih skuad Hobin Jang Hobin kendalian K Devan dan semestinya enggan melepaskan peluang untuk terus mempertaruhkan aksi di saingan Liga Super apatah lagi selepas UiTM turun ke Liga Perdana musim ini.

"Bagi saya, ini rezeki kita tidak sangka sebab ada pasukan seperti Negeri Sembilan yang inginkan khidmat saya, jadi mestilah saya tidak boleh melepaskan peluang ini.

"Memang dengan Melaka sebelum ini, prestasi agak menurun, dan saya berpindah ke UiTM dengan harapan dapat memperbaiki balik prestasi diri dengan lebih baik.

"Alhamdulillah, saya boleh nampak perubahan berbanding musim-musim sebelum ini dan sekarang tugas saya untuk terus mendapatkan kepercayaan jurulatih (Devan)," katanya di sini, hari ini.

Pemain berasal dari Melaka itu, bagaimanapun tidak menolak persaingan mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama pastinya lebih sengit memandangkan pasukan yang menjuarai Liga Perdana musim lalu itu kini dibarisi ramai pemain hebat lain termasuk muka baharu.

Ahmad Khuzaimi berkata, dia akan bekerja keras memastikan tahap prestasinya menepati kehendak jurulatih dan seterusnya berpeluang berada dalam kesebelasan utama tidak terlepas.

"Apa yang penting, sasaran untuk cuba membantu Negeri Sembilan sebaik mungkin apatah lagi mereka mempunyai misi lebih besar selepas layak ke Liga Super, musim ini.

"Sebelum ini mereka beraksi di Liga Perdana, jadi sekarang tanggungjawab pastinya berbeza kerana saingan Liga Super dilihat lebih kompetitif dan mencabar," kata pemain yang sudah membuat 143 penampilan dalam Liga M sejak 2011.

Disiarkan pada: January 25, 2022 @ 2:38pm
d