Bola Sepak

Fadhli tekad beri terbaik

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Pertahanan baharu Melaka United FC, Muhammad Fadhli Shas mahu kembali mencipta nama apabila dipinjamkan beraksi bersama pasukan itu pada musim ini selepas lapan tahun bersama Johor Darul Ta'zim (JDT).

Pemain berusia 31 tahun itu mengakui meraih pelbagai pengalaman sepanjang lapan tahun bersama JDT sejak musim 2014 dan dengan persaingan sengit dalam kelab itu menjadikan dirinya lebih matang untuk merebut peluang terbaik.

Memandangkan musim lepas Fadhli hanya beraksi di pentas Liga Perdana dengan 10 penampilan bersama JDT II, dia tekad ingin membuktikan sesuatu bersama Melaka pada musim ini di samping ingin membantu skuad itu berada di kedudukan lebih baik berbanding tahun lalu.

"Sejujurnya saya tidak ingin menjanjikan sesuatu yang luar biasa, cuma Insya Allah saya akan memberikan yang sebaiknya untuk Melaka dan saya secara peribadi percaya saya boleh mencapai sesuatu dengan pasukan ini.

"Apabila kita dah bermain secara profesional, tidak kira di mana pun saya akan diletakkan sebelum ini, sama ada di pasukan bawah ke di atas ke, saya akan sentiasa memberikan yang terbaik untuk pasukan.

"Cuma saya mengharapkan sokongan daripada penyokong-penyokong Melaka juga untuk kita sama-sama tengok musim ini Melaka akan berjaya meraih kejayaan", katanya.

Dalam masa sama, bekas tonggak utama skuad Harimau Muda A ini mengakui Melaka juga dibarisi pemain-pemain berkualiti yang pastinya akan menghadirkan perebutan sengit dalam kesebelasan utama.

Disiarkan pada: January 25, 2022 @ 5:03pm
d