Bola Sepak

'Itu bukan campur tangan, itu pandangan'

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Tunku Ismail Sultan Ibrahim menolak dakwaan bahawa senarai pemain yang menyertai skuad Harimau Malaya pernah dipersembahkan kepadanya terlebih dulu seperti didakwa netizen di laman sosial.

Jelas pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) itu, beliau tidak pernah terbabit dalam urusan memberi 'kelulusan' pemain yang dibenarkan ke kem negara.

Sebaliknya, setiap pasukan yang 'membekalkan' pemain kepada skuad kebangsaan sentiasa dimaklumkan menerusi senarai nama yang diserahkan kepada pasukan masing-masing termasuk JDT.

"Senarai nama pemain yang dipanggil akan diberikan kepada pasukan masing-masing kerana kami yang bayar gaji pemain. Semua orang akan terima senarai nama ini.

"(Senarai nama) bukan dipersembahkan kepada saya tetapi ia adalah prosedur yang standard untuk semua pasukan menerima benda itu. Bagi saya, (dakwaan) itu adalah cerita dongeng," katanya.

Selain itu, Tunku Ismail turut menegaskan dirinya tidak pernah masuk campur dalam sebarang urusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan juga perkara membabitkan skuad kebangsaan.

"Saya sentiasa ada pandangan tetapi saya tidak campur tangan. Saya tidak boleh buat keputusan untuk skuad kebangsaan tetapi saya beri pendapat kerana gaji pemain dibayar oleh saya, bukan FAM.

"Sama juga macam pasukan lain kerana mereka yang jaga pemain mereka. Jadi, FAM perlu menghormati perkara ini tetapi saya tidak campur tangan berkenaan perancangan ataupun keputusan jurulatih.

"Cuma saya memberi pandangan kalau saya rasa benda itu tidak logik dan beri beban kepada mana-mana pihak, saya akan sampaikan pandangan saya yang ikhlas.

"Bagi saya, itu bukan campur tangan kerana itu adalah memberi pandangan. Ada beza antara kedua-dua perkara itu," katanya.

Disiarkan pada: January 31, 2022 @ 10:34pm
d