Bola Sepak

PSG tersingkir Piala Perancis

Oleh AFP

Paris: Paris Saint-Germain tersingkir dari Piala Perancis selepas Marcin Bulka, penjaga gol yang dipinjamkan ke Nice, menyelamatkan dua sepakan penalti untuk membawa pasukan baharunya itu ke saingan suku akhir.

Nice yang menduduki tangga kedua Ligue 1 di belakang PSG, menang menerusi penentuan penalti 6-5 selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada masa sebenar.

Mereka akan bertemu Marseille yang kini menduduki tangga ketiga liga di saingan suku akhir.

Pada perlawanan berlangsung di Parc des Princes, kedua-dua pasukan bergelut untuk mencipta peluang dengan Kylian Mbappe yang masuk sebagai pemain gantian 30 minit terakhir perlawanan menyaksikan cubaannya terkena palang gol.

"Kami lebih baik berbanding Nice. Kami berhak untuk meraih keputusan lebih baik dan memenangi perlawanan ini.

"Tapi kami tidak mencipta banyak peluang untuk mencatatkan kemenangan. Kami sepatutnya lebih cekap," kata jurulatih PSG, Mauricio Pochettino.

Pada penentuan penalti, Bulka yang dipinjamkan dari PSG ke Nice selama semusim selepas kehadiran Gianluigi Donnarumma pada musim panas lalu, menafikan sepakan penalti Leandro Paredes dan Xavi Simons.

"Saya menghormati PSG kerana dipinjamkan dari kelab yang saya sayangi. Saya mengenali setiap pemain tetapi ia lebih kepada kata hati. Saya memilih kedudukan yang tepat untuk menghalang mereka," kata Bulka.

Disiarkan pada: February 1, 2022 @ 9:08am
d